4bia



Seperti namanya, 4bia (sebutan fobia) filem ini akan membuatkan anda fobia dengan 4 kisah seramnya yang diarahkan oleh 4 pengarah Thai yang handal dan kreatif.

Ulasan Penuh

Thailand biasanya akan lebih ke depan atau pantas daripada kita dalam aspek pembikinan filem. Ini termasuk dari segi sinematografi, kesan bunyi atau kesan visual.

Apabila pengarah kita baru hendak bersatu membuat filem pendek menjadi sebuah karya gabungan, mereka lebih dulu melakukannya. Filem ini, 4bia adalah contoh terbaik tentang apa yang saya katakan. Menerusi filem sebegini, kesemua pengarah akan berusaha keras memberikan yang terbaik dalam karya masing-masing. Kita sendiri hanya bayar harga satu tiket untuk menonton 4 filem.
Walaupun secara keseluruhan masih ada kelonggaran dari segi cerita, plot, logikal dan pelbagai lagi, filem ini tetap menarik untuk ditonton oleh kaki filem seram. Apatah lagi 2 pengarah filem Shutter dulu pun terbabit sama.

4bia Satu - Loneliness (Pengarah: Youngyooth Thongkonthun)

Ia berkisar tentang bagaimana keseronokan bermain SMS boleh bertukar menjadi pengalaman menakutkan. Kisah bermula apabila seorang gadis yang baru terlibat dengan kemalangan dan cedera kakinya menghabiskan masa dengan berchatting dan bermain SMS. Dia kemudiannya menerima teks pesanan daripada seseorang lelaki misteri dan ingin berkawan dengannya.

Namun sampai satu peringkat lelaki misteri itu mahu datang ke apartmentnya dan ini membuatkan gadis itu mula tidak sedap hati. Keseraman dapat dirasakan kerana dengan cara berSMS, lelaki misteri itu memberi tahu di mana dia berada - di bawah apartment, di tangga, di depan pintu dan tanpa pintu dibuka, dia sudah pun berada dalam rumah gadis itu! Akhirnya lelaki yang tidak dapat dilihat itu berkata dia sedang duduk di sebelah gadis itu dan meminta dia mengambil gambar mereka menggunakan telefon bimbitnya. Jawapannya? anda cari sendiri dalam filem ini!

4bia Dua - Tit For Tat (Pengarah: Paween Purikitpanya)

Kisah kedua ini saya anggap biasa saja dan ia lebih bernada genre muzik rock dan indie. Sekumpulan remaja sekolah berada dalam ketakutan kerana ada rakan mereka yang terbunuh dengan tidak sengaja gara-gara perbuatan buli. Remaja yang naif itu terbunuh dalam satu kemalangan jalanraya dan seperti dijangkakan, rohnya kembali menuntut bela.

4bia Tiga - In The Middle (Pengarah: Banjong Pisanthanakun)


Rasanya, ketika kita kecil dulu atau mungkin sampai hari ini, kita selalu beranggapan jika tidur di tengah antara orang lain, kita akan selamat daripada gangguan hantu. Inilah yang membuka cerita ketiga berbaur komedi seram yang bertumpukan kepada 4 rakan yang sedang berkhemah di dalam hutan.

Sebelum tidur mereka membuka cerita hantu dan akhirnya mereka yang ketakutan. Tapi itu hanya mainan perasaan kerana esoknya mereka membuat white water rafting iaitu acara meredah jeram sungai. Tanpa disangka, kemalangan terjadi dan salah seorang rakan mereka lemas dan hilang.

Jadi pada malam berikutnya, mereka tidak dapat tidur dan ada yang bersedih bercampur takut. Tiba-tiba khemah mereka dihampiri seseorang dan dia adalah rakan yang lemas tadi. Apakah yang sebenarnya terjadi? Apa yang dapat saya katakan, filem pendek ketiga ini meminjam twist plot The Sixth Sense.


4bia Empat - The Last Fright (Pengarah: Parkpoom Wongpoon)

Bagi saya inilah filem paling menarik yang membuatkan beberapa penonton menjerit dalam panggung. Bagi saya filem ini juga akan dibenci oleh mereka yang bergelar pramugari atau pramugara.

Seorang pramugari, Pim, terpaksa bertugas seorang diri dalam sebuah pesawat khas yang ditempah oleh seorang puteri diraja dari Khurkistan (rupanya seiras Natasha Hudson). Dengan wajah jelita tetapi sombong, puteri itu mengundang rasa cuak pada Pim. Apatah lagi selepas puteri itu melihat Pim memakai cincin yang sama dengannya, dia mengesyaki Pim ada skandal dengan suaminya.

Kemudian, puteri itu memberi amaran bahawa di negaranya, kalau seseorang itu ada skandal dengan golongan istana, dia akan direjam dengan batu dan mati dalam keadaan menyembah. Sikap bongkak puteri itu menyebabkan Pim berasa marah lalu membancuh kopi di pantry pesawat itu dan mengacau minuman itu dengan tumit kasutnya!

Dipendekkan cerita, apabila puteri itu menjamah pula mi goreng kepunyaan Pim (beliau tidak mahu hidangan yang sudah disediakan), puteri itu terus terkena alahan udang lalu jatuh sakit serta merta.

Sampai di Thailand, berita di TV memaklumkan bahawa puteri itu akhirnya mangkat dan jenazahnya perlu diterbangkan semula ke Khurkistan dengan pesawat yang sama dan... hanya Pim seorang diri dalam kabin (memang tidak logik).

Bagi menambahkan elemen spooky, jenazah atau mayat puteri berkenaan yang dikapankan, tidak boleh diletakkan di dalam keranda, sebaliknya 'didudukkan' di kerusi yang sama dalam pesawat itu. Jadi, anda bersedia untuk menjerit bersama Pim? Jom kita ke panggung...

Undergoing MyBlogLog Verification