Alamak




RANCANGAN komedi sketsa, Alamak yang bersiaran di Astro Ria sejak 5 Ogos lalu semakin popular dan mendapat tempat di hati penonton. Barisan artis yang terlibat dalam siri tersebut ialah Zaid Zahari, Jeff Omar, Sham Sunder Binwani, Badrol Shah dan Deven Raja Lawak.

Manakala artis jemputan yang terlibat ialah Radhi Khalid, Ellie Suriaty, Pian Cecupak dan Azura Zainal.

Siri tersebut bersiaran setiap hari Rabu pukul 9.30 malam di Astro Ria.

Kejayaan siri komedi itu semakin mendapat tempat di hati penonton sehingga ada rancangan untuk menyambung penyiarannya ke musim yang kedua.

Pelbagai segmen menarik sepanjang penyiaran antaranya, Cowboy, Superman, Chef Selebriti, lanun, Drakula, berita, Mamak, Red Indian, Ofis, Uji bakat, Tarzan, Pemburu, Agen perisik, Kafe, Bomoh, Hantu, Filem Melayu klasik, X-men, Hulk dan Kedai Handphone.

Kelainan yang berjaya ditonjolkan oleh Alamak berbanding siri komedi lain ialah menampilkan karakter-karakter Hollywood antaranya Mr. Bean, Crocodile Hunter dan Lord Of The Rings.

Turut ditampilkan ialah segmen meniru gaya selebriti seperti Chef Wan, Karam Singh Walia, Ifa Raziah, David Arumugam dan Anita Sarawak.

Diterbitkan oleh Ritz Channel, Alamak ditulis dan diarahkan oleh Zaid Zahari yang juga pelakon utama siri tersebut.

Selain menampilkan barisan pelakon yang berbilang bangsa, wajah-wajah baru pelakon komedi yang ditampilkan membawa sesuatu yang lebih segar.

Ini memperlihatkan keselarasannya mengikuti konsep 1Malaysia.

"Lawak yang kami tonjolkan agak spontan, mudah dan semula jadi. Ia jelas bukan seperti komedi lain yang agak slapstick dan over.

"Ramai bakat baru yang perlu diketengahkan untuk membawa pembaharuan pada industri ini," kata Zaid.

Tambah Zaid, pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada ramai penonton yang memberi reaksi positif terhadap siri Alamak menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.

"Insya-Allah kita akan bersambung ke musim kedua. Kemungkinan kita juga akan cuba merealisasikan filem Alamak tidak lama lagi," katanya Zaid sebelum mengakhiri perbualan.