Anak Halal


Sinopsis:
Hisham, seorang penjenayah dalam keadaan tersepit telah menyerahkan bayi lelakinya kepada Mariam, seorang perempuan gila. Penjenayah tersebut telah ditangkap dan dipenjarakan. Mariam yang gila dan hidup di jalanan membesarkan bayi tersebut Inderaputera (Putera) dalam serba kedaifan. Mereka tinggal di kawasan setinggan, berjiran dengan Bu Leha dan anak perempuannya, Johanna (Jo) seorang gadis ‘tomboy’ yang dalam diam menyukai Putera. Namun, kebahagiaan Putera bersama ibunya berakhir apabila mereka dipisahkan oleh pihak berkuasa.

Putera kemudiannya dibesarkan oleh Bu Leha yang membawa Putera dan Jo berpindah ke Kuala Lumpur dengan harapan hidup mereka akan menjadi lebih baik. Putera dan Jo membesar sebagai remaja jalanan. Putera bekerja di bengkel kereta. Manakala, Jo dan ibunya berniaga buah-buahan di Pasar Chow Kit demi sesuap nasi.

Manakala, Erzan dan Amira Atikah pula adalah antara sahabat rapat Putera dan Jo. Mereka telah terjebak dengan penggunaan najis dadah akibat tekanan dan desakan hidup. Amira Atikah yang ketagihan dadah telah melarikan diri dari rumah. Selain mengedar dan menagih dadah, Erzan yang terpaksa menanggung beban hutang tinggalan ayahnya telah menjadi buruan kuncu-kuncu Hisham. Putera begitu sedih dan marah. Putera naik berang pada Hisham dan kuncu-kuncu yang telah menjadi punca kepincangan hidup orang-orang yang disayanginya.

Berjayakah Putera membalas dendam terhadap Hisham dan kuncu-kuncunya ? Bertemukah Putera dengan Mariam, wanita yang telah membesarkannya ? Nantikan kemunculan ‘Anak Halal’ sebuah filem realiti kepincangan masyarakat yang akan menemui anda di pawagam pada 13hb Disember 2007.