BIO-NIK



“BIO-NIK” tampil dengan 26 episod yang mengisahkan tentang seorang pelajar kolej yang bernama Nik. Nik mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan jalanraya yang menyebabkan kecederaan yang serius pada keseluruh bahagian badannya. Bapanya, Professor Hafiz seorang saintis yang mengetuai projek bio-genetik serta organ “transplant” mengambil keputusan untuk menjadikan Nik sebagai bahan ujikajinya kerana itulah satu-satunya cara untuk mengembalikan anaknya ke pangkuannya selepas segala cara perubatan konvensional gagal.

Namun, projek yang digelar A.D.A.M (Advance Developmental Android Mechanism) ini membuatkan Professor Hafiz berada dalam dilema kerana memikirkan samada langkah ini adalah yang terbaik untuk masa depan anaknya dan ia tidak melanggar hukum alam.

Setelah sembuh sepenuhnya, Nik terpaksa berhadapan dengan cabaran kuasa luar biasa yang ada dalam dirinya. Disebalik segala dugaan ada hikmahnya; akhirnya Nik sedar kuasa luar biasa Nik merupakan satu-satunya cara yang mampu membantunya untuk menyelesaikan masalah akan bakal menimpa dirinya, keluarganya dan Negara.

“BIO-NIK” turut menampilkan lagu hit daripada Adam iaitu “Robot”, “Benar Benar” dan yang paling terbaru “Tukang Gempak” sebagai lagu tema.

EPISOD 1
Sewaktu percutian keluarga, Adam bersama-sama dua rakan baiknya, Ijan dan Boy, melakukan aktiviti para-gliding. Namun, akibat satu kesilapan teknikal, para-glider Adam tidak berfungsi, menyebabkan Adam cedera parah.
Prof Razak, yang mengetuai satu projek rahsia sebuah syarikat swasta, mengambil keputusan untuk menjadikan anaknya, sebagai bahan ujikaji keberkesanan ciptaan beliau - anggota badan bionik. Pada awalnya, tindakan Prof Razak dibantah keras oleh isterinya, Marini namun apabila sedar, itu satu-satunya cara merawat Adam, Marini setuju.
Adam dibedah dan mempunyai dua anggota tangan bionik, dua anggota kaki bionik dan mata palsu sebelah kiri elektronik.
Apabila sembuh, Adam terpaksa membiasakan diri dengan anggota barunya dan mula kehilangan 'kemanusian'nya apabila sedar sebahagian dirinya adalah robot.
Apabila kembali di kolej, keistimewaan Adam diperhatikan oleh Usman, pemberita sebuah akhbar tabloid.
Usman kemudian cuba memerangkap Adam supaya menggunakan kekuatannya di depan kamera, supaya berita itu dapat dilaporkan. Akibatnya, Adam terpaksa lebih berhati-hati, apabila menggunakan kekuatannya, termasuk apabila berdepan dengan pelbagai kemalangan yang dilakukan oleh Usman.

EPISOD 2
Adam dan rakan-rakan pergi memancing pada hujung minggu di sebuah kolam pancing air tawar. Sepanjang berada di situ, Adam rasa letih dan pening-pening. Apabila seorang budak terjatuh ke dalam kolam, Adam cuba membantu tetapi akibatnya, Adam yang hampir lemas dan diselamatkan oleh Boy.
Adam mencari punca mengapa kekuatannya hilang, dan mendapati tidak berapa jauh daripada kolam tersebut, ada sebuah kilang membuat magnet.

EPISOD 3
Kolej dikejutkan dengan kemalangan-kemalangan serius yang melibatkan beberapa pelajar lelaki. Ramai berpendapat, kemalangan-kemalangan itu disebabkan oleh roh pelajar mati yang tidak tenteram.
Apabila Boy menjadi mangsa seterusnya, Adam menyiasat dan mendapati, kemalangan-kemalangan itu berpunca daripada seorang pelajar perempuan bernama Lily yang boleh bertukar jadi halimunan. Dan perempuan itu mahu membalas dendam terhadap budak-budak lelaki yang pernah mengecewakannya! Budak perempuan itu adalah salah satu daripada mangsa ujikaji Dr Rais.
Di sini, Adam mulai sedar matanya boleh mengesan aura panas.

EPISOD 4
Hubungan antara Farah dan Adam mulai intim. Namun, ia tidak digemari oleh Farid yang sanggup membayar gangster untuk membelasah Adam.
Ijan pula mempunyai masalah besar apabila beliau diburu oleh Along, apabila dia meminjam duit, untuk membeli motorsikal.

EPISOD 5
Adam, Ijan dan Boy, Farah dan Farid dalam perjalanan di atas bot untuk ke sebuah pulau persendirian. Apabila bot yang mereka naiki rosak teruk akibat ribut, mereka tersadai di sebuah pulau kecil yang terpencil. Adam terpaksa menggunakan kelebihannya tanpa dilihat oleh Farah dan Farid, sehingga diselamatkan.

EPISOD 6
Seorang pelajar baru menunjukkan kebolehan luarbiasa seperti Adam! Masalahnya, pelajar itu langsung tidak menyembunyikan kekuatannya, malahan suka menunjuk-nunjuk!
Adam menyiasat latar belakang pelajar itu dan mendapati pelajar tersebut sebenarnya menggunakan hormon yang terlarang.
Apabila Adam cuba menasihati, pelajar tersebut mencabar Adam untuk beradu kekuatan.

EPISOD 7
Usman berjaya merakamkan Adam menggunakan kekuatan luarbiasanya! Kerana tamak, Usman meminta wang daripada keluarga Adam sebanyak RM2 juta, jika tidak, rahsia Adam akan disebarkan.
Oleh kerana Adam dan keluarga tidak mampu membayar wang itu, Usman melaporkan cerita tentang Adam beserta foto-foto Adam, sebagai bukti.
Akibatnya, wartawan lain juga orang ramai, berkunjung ke rumah Adam untuk melihat sendiri kekuatan Adam.
Adam hanya ada satu cara untuk mematikan berita-berita itu – dia terpaksa buktikan kepada semua orang yang dia hanyalah pemuda biasa.
Pada waktu yang sama, Dr Rais berjaya menghidu ciptaan Prof Razak dan menghantar konco-konconya untuk mencuri maklumat rahsia tersebut.

EPISOD 8
Sewaktu mencari bola yang disepak kuat oleh Adam, Adam terkena kejutan elektrik daripada kabel elektrik yang putus.
Akibatnya, kekuatan yang ada pada Adam hilang!
Pada awalnya, Adam gembira kerana dapat menjalani kehidupan normal, tetapi apabila dia gagal menyelamatkan Farah daripada menjadi mangsa copet, Adam sedar, dia perlu mencari jalan untuk mendapatkan semula kekuasaannya dengan bantuan ayahnya.

EPISOD 9
Adam sakit teruk! Satu penyakit luarbiasa menyebabkan Adam lemah dan tak bermaya. Oleh kerana Adam tidak boleh dihantar ke hospital, untuk menjaga rahsianya, ibubapa Adam meminta bantuan seorang doctor pakar yang juga kawan karib ayah Adam, untuk merawatnya. Masalahnya, doctor itu sendiri tidak tahu punca penyakit Adam!
Prof Razak kemudian mendapati, virus yang menyerang Adam berpunca daripada virus yang menyerang anggota bionik anaknya.
Prof Razak kemudian terpaksa meminta bantuan Dr Rais untuk menyelamatkan Adam.

EPISOD 10
Usman yang tamak, telah menceritakan rahsia Adam kepada satu kumpulan penjenayah. Ketua penjenayah kemudian berkomplot dengan Usman, untuk menggunakan Adam bagi tujuan merompak rumah seorang hartawan.
Usman tahu kelemahan Adam adalah Farah, lalu mereka mencolek Farah dan kemudian memaksa Adam menjalankan rompakan tersebut.
Adam terpaksa lakukan demi keselamatan Farah. Adam diminta untuk membuka bilik besi rumah tersebut dan mencuri beberapa dokumen penting. Adam fikir tugasnya mudah tetapi apabila tiba di rumah tersebut, dia jadi lemah kerana rumah itu terletak pada satu grid arus magnetik yang kuat.
Adam akhirnya berjaya merompak rumah tersebut juga menyelamatkan Farah daripada penjenayah. Tetapi, tanpa Adam sangka, rompakannya yang menggunakan kekuatan luarbiasa, telah dirakam oleh kamera CCTV milik hartawan itu.
Pada waktu yang sama, Dr Rais telah berjaya mencipta robot yang kelihatan seperti manusia yang ditugaskan untuk menguji kekuatan Adam.

EPISOD 11
Rakaman CCTV menunjukkan Adam menggunakan kuasa luarbiasa berada di tangan pihak polis yang menyiasat rompakan tersebut.
Sekali lagi Adam dan rakan-rakannya berdepan dengan masalah apabila Adam ditahan polis. Adam pula berjanji tidak akan menggunakan kuasa luarbiasanya semasa ditahan di dalam lokap untuk membuktikan bahawa dia budak biasa.
Tetapi apabila Ijan memberitahu Adam bahawa nyawa Farah dalam bahaya kerana diburu oleh Usman yang mahu membalas dendam, Adam terpaksa mencari jalan keluar tanpa dilihat polis.
Ijan mula mencipta topeng dan kostum supaya identiti Adam diselindung apabila beliau mahu membantu orang dalam kesusahan.


EPISOD 12

Lily, gadis halimunan muncul kembali! Kali ini beliau meminta bantuan Adam untuk mencari ayahnya yang sudah lama menghilang.
Pencarian ayah Lily, membawa mereka ke sebuah gudang rahsia yang mempunyai tahap sekuriti tinggi dan canggih.
Apabila Lily dan Adam terperangkap dalam gudang itu, barulah Adam tahu Lily sebenarnya mencari lelaki itu untuk membalas dendam! Lelaki itu adalah Dr Rais yang pernah membuat kajian terhadap Lily!
Dan lebih memeningkan kepala Adam apabila Dr Rais telah mencipta satu robot yang mirip Adam juga lebih canggih. Adam terpaksa menggunakan 'naluri manusia'nya untuk mengalahkan Adam Robot.

EPISOD 13
Akibat terkena panahan kilat sewaktu berjogging, Adam hilang ingatan!
Adam bukan saja tidak tahu siapa dirinya, malahan tidak tahu tentang kekuatan yang dia ada.
Adam merayau-rayau di sekitar Kuala Lumpur, tanpa hala dan tujuan. Dan apabila dia menyedari dirinya tidak boleh cedera, Adam menyangka dirinya terkena sumpahan!
Ijan dan rakan-rakan pergi mencari Adam dan apabila menemuinya, terpaksa meyakinkan Adam bahawa dia bukan kena sumpahan!

EPISOD 14
Adam berdepan dengan makhluk asing dari bintang! Sebuah kapal angkasa muncul di Shah Alam. Satu makhluk asing muncul untuk membuat kajian tentang manusia dan telah bertukar menjadi seorang pelajar perempuan , untuk tujuan tersebut.
Untuk kekal di bumi, makhluk tersebut menyedut tenaga manusia hingga menyebabkan mangsanya jadi katatonik.
Apabila Ijan menjadi mangsa terbaru, Adam terpaksa memburu makhluk asing itu dan membunuhnya.

EPISOD 15

Adam dan rakan-rakan ditugaskan untuk membuat dokumentari tentang kehidupan orang asli.
Di perkampungan orang asli yang masih mengekalkan adat resam dan menolak arus moden, Adam mengenali erti ketenangan dan kepentingan alam.
Menggunakan kekuatannya secara rahsia, Adam juga membantu membina rumah yang rosak akibat ribut.
Apabila perkampungan itu diancam oleh sekumpulan pembalak haram, Adam dan rakan-rakan membantu.

EPISOD 16
Dr Rais dan Usman bersekongkol lagi dan telah menangkap Prof Razak supaya Adam menyerah diri.
Apabila Adam menyerah diri untuk menyelamatkan ayahnya, beliau dijadikan bahan ujikaji di mana kekuatan anggota badannya serta minda manusianya, dikaji secara fisikal dan mental.
Adam sedar dia perlu lakukan sesuatu untuk menyelamatkan diri sebelum rahsia ‘kelemahannya’ berjaya dihidu.

EPISOD 17
Kolej menjadi sebuah set pengambaran filem aksi! Apabila Adam menyelamatkan pelakon remaja terkenal daripada satu kemalangan di set, si pelakon mula jatuh cinta dengan Adam.
Akibatnya, Farah mulai cemburu. Tetapi, apabila si pelakon mulai terlibat dengan beberapa lagi kemalangan lain, Adam mula terfikir sama ada itu hanya lakonan atau ada orang yang mahu membunuh si pelakon jelita.

EPISOD 18
Kampus mula dihantui dengan pelbagai kes kecurian barang! Malahan kedai-kedai berhampiran juga berdepan dengan masalah yang sama.
Peliknya, rompakan itu seperti dilakukan oleh hantu, lantaran ia amat pantas dan bagai ‘sekelip mata.’
Rupa-rupanya, ia dilakukan oleh seorang budak lelaki belasan tahun bernama Kirol, yang mempunyai kebolehan berlari sepantas kilat.
Adam berjaya menangkap budak lelaki itu yang mula mengajarnya erti ‘kebebasan’ dan ‘kuasa’.

EPISOD 19
Sewaktu dalam proses 'charging' anggota badan bioniknya, satu mulfunction pada sistem komputer hampir meragut nyawa Adam.
Setelah diselamatkan, karaktor Adam mula bertukar menjadi jahat. Adam bukan saja menggunakan kuasanya untuk kepentingan diri sendiri, tetapi juga mula menunjuk-nunjuk.
Prof Razak, Ijan dan Boy bertungkus lumus mencari punca krisis identiti Adam, sebelum rahsia yang selama ini disimpan rapi, terbongkar.


EPISOD 20

Rahsia Adam akhirnya diketahui Farah! Ini berlaku apabila Adam menyelamatkan Farah daripada kereta yang terbakar.
Adam telah membuka topeng/helmetnya kerana menyangka Farah pengsan, tetapi sebaik di buka, Farah juga membuka mata.
Adam akhirnya menceritakan kepada Farah, apa yang berlaku menyebabkan Farah mula menjauhkan diri daripada Adam, yang dia anggap sebagai ‘tidak normal’.

EPISOD 21
Dr Rais berjaya 'upgrade' Robot Adam yang kini mampu beremosi seperti manusia.
Dengan bantuan Usman, Adam berjaya dicolek dan ditempatkan dalam sebuah kurungan berdinding magnetik. Robot Adam pula, dihantar ke rumah keluarga Adam. Tujuan Dr Rais ialah untuk mengkaji keberkesanan ciptaannya dan juga untuk mencuri dan memusnahkan semua ujikaji Prof Razak.
Robot Adam berjaya menipu Prof Razak, Marini serta rakan-rakan Adam kerana 'memori' robot tersebut, diisi dengan memori Adam sejak kecil.
Tetapi, naluri Farah dapat menangkap ada sesuatu yang tidak kena pada 'Adam Robot' dan Farah kemudian menyakinkan Ijan dan Boy, itu bukan Adam.
Farah, Ijan dan Boy kemudian mencari jalan untuk menjejak Adam dan apabila sedar Adam terperangkap dalam sebuah kawasan sekuriti tinggi, Ijan mencipta satu kostum (ala-ala Iron Man) yang kemudian digunakan oleh Boy, untuk menyelamatkan Adam.
Apabila Adam terlepas, Robot Adam dan Adam bersemuka sekali lagi dan kali ini, kedua-duanya sama hebat kerana masing-masing boleh membaca gerak seterusnya.