CJ7


Sekali Imbas

Filem kanak-kanak dan seisi keluarga, penuh dengan unsur pengajaran dan emosi selain elemen komedi sebagai kekuatan. Ini bukanlah filem berteknologi tinggi sepenuhnya, namun difokuskan kepada pergerakan binatang unik bernama CJ7 dan kapal angkasa UFO.

Ulasan Penuh

Ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini, pengarah dan pelakon utama CJ7, Stephan Chow ada berkata, filemnya kali ini ada kelainan kerana banyak memasukkan unsur emosi berbanding aksi kung fu sebagaimana filem-filem terdahulu.

Pengarah berpengaruh dari Hong Kong itu juga berberkata, pada masa akan datang, kebanyakkan filem-filemnya tidak akan lagi sarat bermain dengan aksi kung fu, sebaliknya menggabungkan elemen emosi dan pertarungan dalam sebuah filem.

CJ7 menjawab segala keinginannya itu, apabila ia berjaya memberi kesan ke dalam jiwa penonton, meskipun mungkin ada yang beranggapan mesej yang ingin disampaikan pengarah ini agak ringan.

Malah, ketika menontonnya sendiri di panggung, ada sebahagian kanak-kanak yang menangis ketika babak karektor haiwan dari angkasa lepas, CJ7, diperlakukan dengan teruk oleh kanak-kanak kaki buli di sekolah.

Nak diikutkan, ceritanya cuma berkaitan seorang ayah yang bekerja sebagai buruh kasar bersama anaknya. Ibarat kais pagi makan pagi, si bapa bersusah payah membesarkan anaknya agar menjadi orang yang berguna apabila besar nanti. Itu saja.

Tapi lebih dalam daripada itu, CJ7 mengupas bagaimana kesusahan si ayah mencari rezeki, terpaksa menebalkan muka dengan majikannya untuk membeli kipas angin, mengutip barang terbuang dari tempat buangan sampah dan hidup daif di sebuah rumah yang belum siap.

Namun, satu hari, kehadiran sejenis haiwan dari angkasa lepas, mirip anjing mengubah kehidupan dua beranak itu. Awalnya, haiwan itu disangka si anak mempunyai kuasa luar biasa yang boleh mengubah sikapnya dari seorang yamg malas belajar kepada cemerlang dalam ujian.

CJ7 tidak punyai kelebihan itu sebagaimana haiwan animasi lain contohnya Doraemon. Sebaliknya kasih sayang ditunjukkan oleh haiwan itu merubah persepsi si anak untuk terus gembira, ceria dan berkerja keras dalam mencapai apa yang dihajati.

Walaupun begitu, pujian wajar diberikan kepada pelakon kanak-kanak Xu Jiao yang berjaya mencuit hati penonton dengan gelagat bersahajanya. Satu rahsia yang harus diketahui, kanak-kanak ini sebenarnya seorang budak perempuan dan bukanlah lelaki seperti di dalam filem CJ7!

Meskipun tidak banyak gerak kung fu dipamerkan dalam filem ini, namun begitu Stephen Chow masih menerapkannya pada beberapa bahagian contohnya pada pergerakan anjing CJ7.

Begitu juga dengan babak mimpi si anak yang begitu taksub dengan kasut dan cermin mata ajaib yang diberikan CJ7. Biarpun tampak ringkas, ia terselit seni pergerakan kung fu yang sudah menjadi identiti Stephen sejak dulu lagi.

Kesan khas dalam filem ini? Ia tidaklah begitu kaku atau nampak macam kartun. Sekadar biasa-biasa saja.

Sinopsis

CJ7 yang menelan belanja besar iaitu lebih AS$20 juta, mengisahkan kehidupan seorang buruh kasar bersama anaknya yang dipertemukan dengan haiwan makhluk asing dikenali sebagai CJ7. Kehadiran CJ7 bagaimanapun, mengubah kehidupan mereka anak beranak, akan kepentingan hidup berkeluarga tanpa memikirkan wang.