Imagine That


Filem lakonan Eddie Murphy yang memegang watak Evan, seorang eksekutif kewangan yang berjaya yang lebih mementingkan kerjayanya berbanding anaknya yang berusia tujuh tahun, Olivia (Yara Shahidi). Apabila dia mempunyai krisis keyakinan dalam dirinya dan kerjayanya hampir musnah, dia mula sedar bahawa penyelesaian bagi semua masalahnya adalah dunia imaginasi anaknya.



Eddie Murphy sudah lama berkecimpung dalam genre komedi. Kita sudah melihatnya melakonkan watak sebagai seorang yang boleh bercakap dengan binatang di dalam filem "Doctor Dolittle", putera raja yang sopan di dalam "Coming To America" dan tidak dilupakan juga wataknya di dalam "The Nutty Professor". Walaupun kita tidak melihatnya, kita masih cam suaranya sebagai 'Donkey' di dalam filem "Shrek". Selepas menjadi makhluk asing dalam filemnya sebelum ini "Meet Dave", Eddie Murphy kembali melakonkan watak yang agak berbeza kali ini.

Dalam "Imagine That", dia memainkan watak sebagai seorang duda bernama Evan yang bekerja keras di sebuah bank pelaburan. Anaknya yang berusia tujuh tahun, Olivia selalu membawa selimutnya 'Goo-Gaa' dan gemar bercakap dengan empat rakan imaginasinya: Moppida, Koopida, Soppida dan Qwali. Evan yang sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan tidak kisah akan anaknya dan dunia imaginasinya sehinggalah rakan imaginasinya itu mula memberikan nasihat yang berguna dalam bidang pelaburan. Selepas itu, Evan mula mengunakan selimut 'Goo-Gaa' dan kerap kali bertanyakan kepada rakan imaginasi bagi mendapatkan nasihat seperti syarikat mana yang dia patut melabur dan pelbagai soalan lagi.

Karakter yang dipegang oleh Eddie Murphy lebih berkesan selepas dia mula 'masuk' dalam dunia imaginasi Olivia. Dia berjaya berkomunikasi dengan kanak-kanak dan menyaksikannya menyanyikan "Soppida's dragon! Please let me pass!" sangat menggelikan hati.

Walaupun kelakar dan menggelikan hati, "Imagine That" sebenarnya menampilkan hubungan antara seorang ayah dan anaknya. Segala 'kegilaan' nampaknya digaul dengan baik sekali dengan jalan ceritanya. Fantasi 'Goo-Gaa' nampaknya berjaya membawa kedua-duanya bersama, menyampaikan mesej kepada penonton bersama-sama dengan elemen komedi.