Pandorum



Filem ini dimulakan dengan menunjukkan tahun 2174 dan populasi di Bumi semakin padat. Sebuah planet bernama Tanis telah ditemui dan beribu orang wanita dan lelaki telah dihantar menggunakan sebuah kapal angkasa 'Elysium'. Kapal angkasa tersebut dikemudi oleh tiga orang krew yang bertugas secara bergilir-gilir selama dua tahun untuk mengelakkan daripada terkena simptom yang dikenali sebagai 'pandorum' iaitu satu penyakit akibat mengembara di angkasa lepas. Dua krew, Korperal Bower (Ben Foster) dan Leftenan Peyton (Dennis Quaid) terjaga daripada tidur hiper selama beberapa tahun. Kedua-duanya kehilangan memori buat sementara waktu akibat daripada tidur terlalu lama. Walaubagaimanapun, tiada siapa pun yang kelihatan di dalam kapal 'Elysium' tersebut. Bower menawarkan diri untuk pergi ke bahagian reaktor agar kuasa kapal angkasa tersebut dapat dihidupkan. Namun apa yang ditemuinya adalah sesuatu yang tidak disangkakan. Bower terpaksa berhadapan dengan mutan yang sentiasa memburu untuk mendapatkan manusia dan juga masa yang semakin tamat sebelum kuasa di dalam kapal angkasa tersebut padam buat selama-lamanya.

Alvart berjaya membuatkan penonton berdebar-debar menantikan apa yang akan berlaku selepas itu serta berpegang pada kerusi mereka dengan adegan ngeri dan menggerunkan. Elemen klaustrophobia ditonjolkan di dalam sepanjang filem ini. Kita dapat saksikan setiap watak mempunyai sifat paranoid di dalam diri masing-masing. Walaupun ia mengambil masa yang agak lama untuk membuatkan penonton memahami jalan ceritanya, penonton disaji dengan aksi yang tidak henti dari awal hinggalah tamat filem ini. Mungkin ada yang perasan bahawa mutan yang ditonjolkan di dalam "Pandorum" hampir sama seperti yang terdapat di dalam filem lakonan Will Smith, "I Am Legend" (2007).

Dari segi lakonan, Foster ternyata sekali berjaya mencuri perhatian penonton. Dengan lakonan yang begitu bagus, Foster benar-benar menjiwai lakonannya sebagai seorang krew yang kehilangan memori dan sedaya-upaya untuk mencari jalan keluar daripada kapal 'Elysium' itu. Malah Foster pernah berkata melalui satu temu ramah bahawa dia gembira apabila mendapat pengalaman untuk melakonkan watak menjadi tidak tentu arah atau tidak mengetahui apa-apa dan terpaksa bergantung sepenuhnya dengan kata hati. Bagi pelakon Dennis Quaid, malangnya watak yang dipegang olehnya hanya memerlukan dia berada di hadapan skrin sambil membantu Foster mencari jalan yang sudah pasti tidak memerlukan sebarang aksi. Walaubagaimanapun pasti terdetik di dalam fikiran penonton, "takkan itu sahaja yang dibuat olehnya? " Sudah pasti ada 'twist' di sebalik wataknya itu. Walaupun kebenaran terbongkar, lakonan Quaid gagal member impak kepada penonton. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Ben Foster adalah tarikan kepada "Pandorum".

Tidak terlalu banyak teknik penjanaan imej berkomputer (CGI) ditonjolkan di dalam filem ini, tidak seperti yang filem-filem masa kini. Walaupun kadang-kadang ia kelihatan seperti tidak meyakinkan, namun ia tidaklah teruk sangat. Ia berjaya membuatkan penonton rasa geli melihat organ manusia dimamah oleh mutan-mutan yang kelaparan itu.

Walaupun "Pandorum" mempunyai kritikan yang pelbagai, namun ia tetap terpulang kepada penonton untuk menilainya. Walaubagaimanapun klasifikasi PG13 seolah-olah tidak sesuai untuk filem ini. Mungkin ibu bapa perlu benar-benar mengawasi anak-anak mereka, bimbang jika ia mempengaruhi mereka.