10,000 BC



Kononnya pada 10 Alaf SM, hidupnya manusia dalam pelbagai bangsa dan puak. Ada yang tinggal di puncak gunung-ganang salju seperti Yagahl dan ada juga yang menghuni di gurun panas yang kering kontang.

Ketika ini juga hidup pelbagai haiwan prasejarah seperti gajah gergasi berbulu tebal dan bergading panjang selain beberapa spesies dinosaur pembunuh yang amat ganas.

Cerita bermula apabila sekumpulan pemburu di satu puncak pergunungan salju, cuba membuktikan kehebatan mereka dengan menewaskan gajah gergasi yang cukup digeruni itu. Kehebatan lelaki yang gagah itu, D'Leh (lakonan Steven Strait) akhirnya diiktiraf dan seterusnya layak memiliki kekasihnya yang bermata biru, Evolet (Camilla Belle).

Namun satu hari mereka diserang sekumpulan manusia berkuda lalu Evolet ditangkap dan dibawa lari entah ke mana. Tidak lama selepas itu D'Leh dan beberapa rakannya terus menjejaki Evolet dan mereka terpaksa meredah segala kesusahan. Daripada puncak gunung yang amat sejuk mereka meredah pula kepanasan gurun.

Dalam satu insiden D'leh berjaya melepaskan seekor singa yang sangat besar tanpa mengetahui ia sebenarnya haiwan keramat yang hadir pada insan terpilih mengikut kepercayaan satu puak primitif di gurun terbabit. Lalu apabila singa itu muncul membantu D'leh pada saat genting, dia dianggap manusia penyelamat yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.

Seterusnya puak primitif itu membantu D'Leh meneruskan perjalanan mencari kekasihnya Evolet dan melepaskan rakan-rakannya yang sebenarnya ditangkap untuk menjadi hamba-hamba abdi kepada Firaun di Mesir.

Penggunaan CGI dan kesan khas sangat banyak membantu filem ini baik dari haiwan, pemandangan dan babak pertarungan. Sinematografi terutama shot-shot pemandangannya sungguh indah termasuk di Sungai Nil.

Bagaimanapun, keganjilan dirasai apabila watak-watak yang tinggal di puncak gunung boleh pula bertutur dalam Bahasa Inggeris sedangkan puak selebihnya dalam bahasa lain. Selain itu, agak tidak masuk akal kerana pihak musuh sanggup meredah belantara dan cuaca demi menagkap beberapa penduduk sebagai hamba kepada Firaun.

Di samping aksi peperangan dan pertarungan, filem ini turut menyelitkan kisah cinta antara D'Leh dan Evolet.

Sinopsis

Mengisahkan kepahlawanan seorang pemburu gajah purba atau mammoth yang dikenali sebagai D'Leh lakonan Steven Strait yang cuba mengembalikan kepercayaan kepada puaknya selain menyelamatkan kekasihnya, Evolet.

Berlatar belakangkan kehidupan manusia 10,000 tahun Sebelum Masihi, D'Leh memikul tanggungjawab besar bagi puaknya, Yagahl, serta impian ayahnya dalam memusnahkan kuasa Firaun yang zalim dan menganggap dirinya sebagai Tuhan.

Laluan D'leh tidak semudah yang disangkakan kerana terpaksa meredah cabaran yang cukup menguji ketahanan mental dan fizikalnya sebelum dapat merampas Evolet semula daripada pihak musuh.