2 hati 1 Jiwa



Diinspirasikan daripada pasangan kembar siam Iran yang melekat di kepala, Ladan dan Laleh yang pernah menggemparkan dunia pada 2003, pengarah itu kini mempertaruhkan bakat Yasmin Hani dan Fouziah Ghous dalam filem

2 hati 1 Jiwa.

Sebelum ini kita tahu pasangan kembar Ladan dan Laleh telah pergi buat selama-lamanya apabila usaha memisahkan mereka di Hospital Raffles, Singapura telah gagal. Impian mereka untuk hidup berasingan terlintas pada usia 29 tahun selepas masing-masing sedar perlu membawa haluan sendiri.

Ladan, lebih peramah, suka berbual, ingin meneruskan pengajian dalam jurusan undang-undang manakala Laleh,seorang yang lebih pendiam, bercita-cita ingin menjadi wartawan dan gemar memasak. Namun kematian pasangan kembar tersebut bukan sahaja diratapi oleh seluruh rakyat Iran bahkan menyentuh hati masyarakat dunia.

Bermula daripada saat itu impian Razak tercipta untuk melahirkan kisah seumpama Ladan dan Laleh dalam versi filem (bukan kisah sebenar mereka) untuk mengajak penonton menyelami cabaran getir kehidupan mereka.

Filem 2 hati 1 Jiwa mengisahkan dua remaja perempuan dilahirkan kembar siam melekat di kepala iaitu Lana lakonan Fouziah dan Lina (Yasmin Hani) yang mula berdepan dilema apabila usia mereka mencecah 21 tahun.

"Kisah bermula ketika Lana dan Lina memasuki universiti. Ketika itu, minat dan kecenderungan masing-masing mula berbeza. Kehendak yang berlainan itu sering membawa kepada pergaduhan sehingga membawa impian untuk berpisah.

"Berbeza dengan Ladan dan Laleh, pembedahan mereka telah berjaya dilakukan tetapi selepas itu, timbul konflik apabila masing-masing mencintai doktor pakar yang terlibat dalam pembedahan berkenaan," katanya kepada murai.com.my, di lokasi pengambaran filem itu di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Selain Fouziah dan Yasmin, 2 Hati 1 Jiwa turut dibintangi Ziela Jalil sebagai ibu dan Mustapha Kamal sebagai ayah.