21


Risikonya masih tinggi kerana mereka perlu bertindak lebih pantas daripada penguat kuasa kasino

PERJALANAN naratif yang pantas dan mudah menerusi teknik suntingan kemas menjadikan cerita mengenai kebijaksanaan lima pelajar M.I.T Boston menggunakan kecekapan dalam bidang matematik menerusi filem ini cukup mempesonakan. Bayangkan, hanya dengan kecekapan mengira daun terup dalam permainan blackjack, mereka mampu mengaut keuntungan beratus ribu dollar Amerika.
Ben, pelajar genius menerusi lakonan Jim Sturgess cukup berkesan terutama potongan wajah baby face dan gaya rambut ala Paul McCartney. Kesungguhan Ben untuk mendapatkan biasiswa bagi meneruskan pengajian ke Universiti Harvard dipaparkan secara cukup ironi. Bukan saja dia perlu cemerlang dalam bidang akademik tetapi perlu berbeza dalam persembahan karangan bagi melayakkan dia menerima biasiswa berjumlah AS$300,000 itu.
Penulis tidak melihat paparan aktiviti perjudian sekitar Vegas sebagai satu latar belakang yang sihat bagi tontonan masyarakat kita tetapi, pengisian nilai yang cuba dipaparkan Luketic menerusi disiplin, rasa hormat, kesetiaan dan nilai persahabatan serta kemanusiaan yang cukup baik untuk diperkatakan.

Kevin Spacey sebagai Micky Rosa turut menarik perhatian bukan saja dialog bernas dan cukup bijak yang keluar daripada mulutnya tetapi juga ekspresi wajah seorang bergelar pendidik ketika meyakinkan anak didiknya untuk mengaut keuntungan di meja judi menggunakan kebijaksanaan teori asas matematik.

Ben Campbell (Jim Sturgess) adalah seorang pelajar bijak dari M.I.T. yang sedang berusaha untuk mendapatkan biasiswa bagi meneruskan pengajian ke Sekolah Perubatan Universiti Harvard dan menemui jalannya menerusi permainan daun terup blackjack dipilih menyertai sekumpulan pelajar bijak menggunakan kebijaksanaan mereka.

Dengan kecekapan mengira daun, kumpulan yang diketuai profesor matematik, Micky Rosa (Kevin Spacey) menggunakan identiti palsu untuk mengaut keuntungan dengan menggunakan teknik mengira daun juga tanda isyarat khas untuk menang besar di meja judi. Buta dengan wang, kehidupan bebas di Vegas dan teman seperjuangan yang jelita, Jil Taylor (Kate Bosworth), Ben mula melampaui batas.

Biarpun teknik mengira daun atau kad tidak salah, risikonya masih tinggi kerana mereka perlu bertindak lebih pantas daripada penguat kuasa kasino, Cole Williams (Laurence Fishburne).