Aliens in the Attic


Mengisahkan sekumpulan kanak-kanak yang datang ke rumah percutian bersama keluarga dan terpaksa bertarung menentang 4 ekor makhluk asing iaitu Skip, Tazer, Razor dan Sparks yang tiba-tiba muncul di rumah mereka.

Filem ini sangat menghiburkan. Walaupun sepanjang ceritanya penuh dengan aksi mendebarkan, filem ini tetap banyak menyelitkan babak mencuit hati terutama sekali pada adegan sampingan, watak Ricky Dillman lakonan Robert Hoffman, teman lelaki Bethany (Ashley Tisdale) yang diperkotak-katikkan oleh Tom (Carter Jenkins

Filem ini sesuai ditonton seisi keluarga terutama kanak-kanak. Pengembaraan dan pertempuran melawan makhluk asing antara sekumpulan kanak-kanak ini terus terang mempamerkan nilai-nilai kerjasama, kesungguhan, bijak menghadapi masalah dan berani melawan musuh.

Pun begitu, ia sedikit pun tidak memperlihatkan adegan-adegan ganas malah menyerlahkan lagi kecomelan 4 mahkluk asing. Namun Sparks berbeza berbanding gengnya kerana makhluk asing yang baik dan banyak menghalang kumpulannya daripada memusuhi manusia.

Tom yang mengetuai kumpulan kanak-kanak, berusaha menyelamatkan keluarga dan bumi sebelum ini sering kemurungan akibat selisih faham dengan keluarga. Dia juga yang sangat tidak menyukai sesuatu yang lama telah banyak mempelajari tentang kehidupan selepas berjaya menyingkirkan mahkluk asing berkenaan. Malah hidupnya bagaikan berubah dan bertambah rapat dengan setiap ahli keluarga selepas peristiwa tersebut.

Walaupun gaya penceritaannya yang ringan tetapi penuh dengan nilai-nilai positif termasuk menyentuh soal hubungan kekeluargaan. Penulis mengesyorkan filem ini untuk seisi keluarga.

Dari segi pembikinan, kesan Imej Janaan Berkomputer (CGI) yang diguna pakai untuk menghasikan 4 watak makhluk asing itu tampak memuaskan.