BAIK PUNYA CILOK


Sinopsis:

Kisah lucu 5 orang sahabat, ABEN (Afdlin Shauki), BOB (Awie), JERRY (Hans Isaac), WAK (AC Mizal) and LEMAN (Harun Salim Bachik) yang berpakat untuk merompak Tauke Wong, seorang tauke kedai pajak, bagi mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang telah dipajakkan ketika Wak mahu mengahwini Nazatul. Menyedari nilainya begitu tinggi, Tauke Wong tidak mahu menjualkan kembali kerongsang tersebut, lalu menaikkan harga bunganya berganda. Wak tidak mampu membayarnya. Dalam keadaan yang terdesak, 5 sahabat itu merancang untuk merompak Tauke Wong, hanya kerana untuk mendapatkan kembali kerongsang tersebut… lagaknya seperti Robin Hood abad baru… Leman mendesak agar mereka mengajar Tauke Wong dengan merompak apa sahaja barang yang ada di kedai pajak itu. Sahabat yang lain tidak bersetuju dengan ide Leman kerana mereka sebenarnya bukanlah pencuri dan jauh di sudut hati, mereka sebetulnya takut dengan akibat yang bakal menimpa….

Namun, Leman kemudiannya telah menarik diri di saat akhir. Rancangan harus diteruskan dan persiapan rapi diatur. Setelah melakukan beberapa siri latihan, perbincangan dan strategi, akhirnya hari yang ditunggu-tunggu pun tiba bagi membuktikan kejantanan mereka. Tanpa diduga…. kejutan telah menanti mereka di kedai Tauke Wong. Kedai tersebut telahpun dirompak oleh orang lain! Lebih malang lagi mereka berempat yang terpalit lumpurnya. Dengan sarung kaki wanita sebagai topeng dan timun serta terung yang dibalut bagi menampakkan seperti senjata, mereka telah ditahan polis ketika di kedai Tauke Wong, atas cubaan merompak. Hanya Jerry yang terlepas kerana berada di dalam kereta yang bakal mereka gunakan untuk melarikan diri. Kawan-kawan yang berada di lokap mula mencurigai Jerry. Ini kerana Jerry mempunyai beban hutang akibat suka berjudi. Namun begitu, Jerry jugalah harapan kawan-kawannya untuk membuktikan yang mereka tidak bersalah dan seterusnya mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak.

Mampukah Jerry menunaikan harapan kawan-kawannya itu? Atau dia juga akan gagal seperti mereka? Adakah Lina, anak kesayangan Tauke Wong berjaya mencari siapa sebenarnya yang menjadi dalang dan perompak yang memecah masuk ke dalam kedai bapanya? Nantikan jawapannya dalam….. ‘BAIK PUNYA CILOK’…..