Beowulf



Sesuatu yang menarik dengan filem ini tentunya dengan teknologi yang diguna pakai, kerana keseluruhannya menggunakan teknologi CGI atau gabungan Real D, Dolby Digital 3-D dan Imax 3-D sepenuhnya. Malah dari sudut jalan ceritanya, Beowulf boleh dikatakan tidak membosankan. Percayalah.

Bila bercakap fasal 'bosan' Beowulf ada resepinya sendiri. Dua watak utamanya Beowulf lakonan Ray Winstone dan ibu mahluk jahat bernama Grendel (Angelina Jolie) dipamerkan 'berbogel'.

Kalau Beowulf dipamerkan 'berbogel' ketika berlawan dengan makhluk jahat dan disebabkan itu juga pertempurannya itu berjaya. Watak jahat Angelina pula 'berbogel' dengan badannya penuh disaluti emas.

Namun semua itu atas keberkesanan teknik CGI. Pengarahnya, Robert Zemeckis juga bijak menggunakan angle tertentu, asap dan beberapa perkakasan perang untuk menutup bahagian sensitif pahlawan berkenaan atau dengan kata lain menjadikan Beowulf separa 'bogel'.

Oleh kerana Beowulf diilhamkan daripada teknologi CGI dan animasi, beberapa aspek kehalusan seni kreatifnya menjadi perhatian saya. Misalnya rekaan pada mahkota diraja serta ukiran pada gading emas, cukup halus, teliti dan tampak sempurna.

Imej naga juga dibuat dengan bersungguh-sungguh. Begitu juga darah yang mengalir di dalam baju perisai Beowulf kelihatan jelas dan terperinci buatannya.

Meskipun begitu, karektor atau watak perempuan dilakar tidak begitu menjadi. Dengan keadaan bahu yang agak besar dan wajah yang agak bersegi, karektor mereka seperti drag queen.

Dominasi teknik CGI juga menampakkan keseluruhan karektor dalam filem ini agak pegun atau kaku. Pergerakan mereka juga tidaklah begitu sempurna berbanding jika ianya dibuat dalam teknik penggambaran biasa.

Sinopsis

Filem animasi, pengembaraan dan fantasi ini berdasarkan pujangga epik. Menceritakan perihal kepahlawanan seorang lelaki gagah perkasa, Beowulf yang bertarung melawan kuasa jahat, Grendel, demi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai wira terulung.

Keperkasaannya itu dicemburui ramai pihak termasuklah ibu Grendel yang ingin menuntut bela atas kematian anaknya yang berjaya ditumpaskan Beowulf bersama tenteranya di dalam sebuah dewan keramaian.

Malah, kejayaannya bergelar raja, bagaimanapun menghantui hidup Beowulf dengan kehadiran seekor naga yang cuba merobohkan kerajaannya dan memusnahkan kehidupan rakyat jelata.

Tapi apakah kaitan naga berkenaan dengan Beowulf. Adakakh Beowulf kekal bergelar raja sehingga akhir hayatnya?