Black Water




BLACK Water adalah filem berbajet rendah yang mengeksploitasi kisah benar bagaimana dua remaja perempuan menggunakan kemahiran survival mereka. Dua gadis itu berusaha menyelamatkan diri di hutan paya bakau yang dibanjiri air selepas seorang daripada rakan mereka dibaham sang bedal.

Mungkin kedengaran seperti cerita serangan buaya yang memang biasa berlaku di kawasan paya bakau Australia Utara, tapi percayalah ada antara kejadian benar itu yang cukup mengerikan. Tidak perlu ramai, pengarah Andrew Traucki dan David Nerlich hanya memerlukan tiga pelakon utama saja untuk melunaskan tanggungjawab dalam Black Water.
Walaupun hanya bertiga, tugas yang dipikul Diana (Gracie), Maeve (Lee) dan Andy (Adam) tidak mudah. Bukan setakat perlu meyakinkan penonton dari segi lakonan yang cukup spontan tetapi juga sehingga mampu membangkitkan persoalan di minda penonton, kalaulah aku berada dalam keadaan itu apa yang perlu aku buat, atau bagaimana untuk melalui saat-saat nyawa seperti telur di hujung tanduk.


Walaupun dilabelkan sebagai filem murah, Black Water harus diberi pujian atas ketelitian dan penekanan yang diberikan sutradara dalam hal mengeksploitasi tabiat, kelakuan dan pergerakan buaya air masin menerusi penggunaan kesan khas imej janaan komputer (CGI) yang cukup realistik pada babak tertentu terutama ketika buaya mengganas.

Selain itu, kesan khas bunyi dan shot banyak membantu membangkitkan mood seram, kejutan dan situasi panik dalam filem ini. Seperkara yang cukup menarik, filem ini tidak perlukan suasana gelap untuk membangkitkan rasa ngeri. Hakikat bahawa perkara yang kita tidak nampak itu sebenarnya boleh membunuh sudah cukup bagi menguatkan jalan ceritanya.

Jadi, tidak semestinya untuk berasa takut, perlu dimuatkan elemen watak hantu pada setiap ketika, begitu juga dengan amalan dalam Black Water, kemunculan sang bedal nyata lebih baik.

Bagi yang meminati kisah reptilia ganas ini, Black Water mengisahkan bagaimana Gracie, teman lelakinya, Adam dan adik Gracie iaitu Lee menghabiskan masa bercuti di Australia Utara. Selepas melawat ladang ternakan buaya, Adam mencadangkan mereka memancing di sebuah hutan paya bakau.

Ketika memancing, Jim pemandu pelancong mereka tiba-tiba hilang. Namun selepas mayatnya timbul, barulah mereka sedari yang mereka diserang buaya air masin. Untuk menyelamatkan diri, Adam membawa Gracie dan Lee berlindung di atas pokok bakau memandangkan bot yang membawa mereka terbalik dan tersangkut dalam paya.