Death Note 3 - L Change The World


Bagi sesiapa yang belum pernah mengikuti filem Death Note, filem animasi dan seram ini yang diadaptasikan daripada siri anime Jepun yang mengisahkan misteri pembunuhan melalui sebuah buku luar biasa bertajuk Death Note.
Kira, watak antagonis filem ini telah menemui sebuah buku bertajuk Death Note yang dimiliki oleh Shinigami, Tuhan Kematian. Buku Death Note memberi kuasa pada pemiliknya untuk merancang pembunuhan dengan cara menulis nama orang yang dikehendakinya dan bagaimana cara kematiannya di dalam buku tersebut.
Watak protagonis; Lawliet atau lebih dikenali sebagai L merupakan seorang dektektif yang sangat bijak menyiasat setiap kes mangsa-mangsa yang mati secara tiba-tiba dan akhirnya berjaya membongkar misteri kematian mereka yang berkaitan dengan buku Death Note. L berjaya mengesan penulis buku tersebut yang juga perancang kematian mangsa-mangsa tersebut.


Death Note 3 memaparkan misi terakhir L untuk menyelamatkan dunia pada hari-hari terakhir yang dilalui oleh L sebelum hari kematiannya. L telah menulis namanya sendiri di dalam buku Death Note dan akan mati secara aman selepas diserang penyakit jantung dalam masa 23 hari. Penjaganya, Watari telah mati secara tiba-tiba di awal cerita. L berkabung kesedihan di atas kematian Watari dan mengumumkan kepada semua rakannya termasuk kepada pelajar kesayangan Watari iaitu Dr. Kijo.
Misi akhirnya ialah untuk menyelamatkan dunia daripada serangan virus ebola yang merbahaya dan membunuh. Virus ini akan tersebar bermula dengan seorang budak perempuan yang dijangkiti virus merbahaya yang dicipta sendiri oleh ayahnya. Plot penceritaan pada prekuel kali ini amat berbeza daripada dua filem sebelumnya, iaitu cara L mengendalikan misinya secara realistik daripada menyelongkar misteri pada dunia paranormal.
Misinya kali ini dibantu oleh seorang lagi rakan FBI, Sugura, L bersama budak lelaki yang dinamakan Near dan anak perempuan Profesor Nukuida, pencipta virus berbahaya berhadapan dengan sekumpulan manusia yang tamak dan ingin menguasai dunia.
Untuk mengetahui apakah nasib L di hari terakhirnya kehidupannya, jangan lepaskan peluang menontoni filem Death Note 3 ini yang menjanjikan kelainan daripada filem sebelumnya yang akan ditayangkan di seluruh pawagam tempatan bermula 3 April 2008.