Diary of A Mad Black Women


Paparan kisah kegigihan wanita bangkit daripada kegagalan dalam menempuhi cabaran hidup seringkali mengisi plot drama mahupun filem yang dipilih mewarnai rancangan menarik di layar skrin. Ternyata ianya berjaya memikat serta menarik tumpuan penonton terutama di kalangan wanita bagi dijadikan motivasi dalam diri mereka.

Dibintangi pelakon hebat Kimberly Elise, Steve Harris, Shemar Moore, Tamara Taylor, Tyler Perry dan Tiffany Evans, Diary Of A Mad Black Women mengetengahkan watak Helen McCarter yang memiliki segala-galanya sebagai seorang wanita. Dia berkahwin dengan lelaki kaya dan kehidupan bahagia tinggal di rumah yang besar dan mewah. Mereka dianggap pasangan yang sepadan hingga dicemburui yang lain ketika berada di khalayak ramai.

Bagaimanapun kehidupan Helen berubah menjadi mimpi ngeri apabila suaminya, Charles mula berubah sikap dan dingin terhadapnya. Rupa-rupanya dalam diam lelaki itu menjalin hubungan sulit dengan perempuan lain hingga mengabaikan wanita yang telah dikahwininya sejak 18 tahun lalu.

Kejadian itu benar-benar membuatkan Helen kecewa untuk meneruskan kehidupannya apatahlagi untuk berdepan dengan suaminya itu. Jalan terbaiknya Helen memutuskan untuk pulang ke pangkuan ibu, dan neneknya yang dikenali sebagai Madea dan tinggal bersama mereka bagi mengubat kekecewaannya. Selain itu Helen turut ditemani sepupunya bernama Brian yang tidak ketinggalan mahu bersama-sama membawanya ke jalan agama kepercayaan mereka.

Di situ Helen mula belajar dan mengenal erti kehidupan yang sebenarnya dan cara bagaimana untuk bertahan apabila menghadapi dugaan hidup. Malah Helen mengenal erti berdirikari yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Pada masa sama turut melupakan bayangan Charles yang membayangi hidupnya sebelum ini. Apatahlagi ketika tinggal bersama keluarganya, Helen berkenalan dengan lelaki bernama Orlando.

Begitu pun satu hari ketika menerima berita kematian Charles akibat dibunuh pelanggannya benar-benar mengejutkan Helen. Lalu bagaimanakah kesudahan hidup Helen seterusnya? Dapatkah dia memaafkan kesalahan dilakukan suaminya itu? Justeru pastikan anda meluangkan masa untuk menyaksikan Diary Of A Mad Black Women pada 1 November 2009 (Ahad), jam 4.00 petang mengisi slot Sunday Daytime Special di TV2.