Don't Mess With Zohan



Di minit awal filem ini, mungkin ada beranggapan, filem komedi terbaru lakonan Adam Sandler ini adalah satu lagi idea kurang bijak pembikin filem Hollywood, di mana watak superhero sekali dijadikan perlambangan atau tarikan utama.


Jangan mudah melatah. Kerana Don't Mess With Zohan, di mana Adam Sandler yang memegang watak sebagai Zohan adalah hero baru yang mempunyai kebolehan luar biasa walaupun dia sebenarnya hanya berminat menjadi seorang pendandan rambut di New York!

Dia adalah lelaki waja bekas tentera yang kononnya memiliki kuasa boleh berenang umpama ikan, penumbuk terhebat dan mampu menangkap peluru dengan hanya sekelip mata! Kerana 'kelebihan' yang dimilikinya itu, dia begitu pantas digilai ramai wanita.


Bagaimanapun, menonton Don't Mess With Zohan, bukanlah seperti menonton 2 filem komedi terbaik lakonannya iaitu 50 First Date atau The Longest Yard. Elemen seks yang keterlaluan menjadi sandaran kepada filem ini dan adakalanya membuatkan penonton terasa jelik.

Malah kerana kelebihannya yang mampu 'memuaskan nafsu' pelanggan termasuk nenek tua menjadi sandaran kepada elemen jenaka dalam filem ini. Ramai yang ingin merasai 'kejantanan' Zohan...

Pun begitu, filem arahan Dennis Dugan ini cuba diseimbangi dengan mesej positif di mana persengketaan antara kaum bukanlah jawapan terbaik untuk mencipta keamanan sejagat. Manusia masih boleh hidup harmoni dan sama-sama berniaga jika tidak mempunyai prasangka buruk.

Ia turut membidas sikap double standard, antaranya masyarakat minoriti di Amerika Syarikat yang mendapat layan buruk dan bagaimana si kaya dengan mudah menakluki kemewahan daripada kesengsaraan orang lain.

Don't Mess With Zohan, turut menampilkan penampilan istimewa penyanyi popular Mariah Carey yang dalam masa yang sama mahu mempromosikan album terbarunya.


Agak janggal pula, mengapa penyanyi sehebat Mariah mahu juga muncul dalam filem komedi yang bertaraf 2 setengah bintang ini. Patutlah Zohan pun tidak mahu ketinggalan menyarungkan kemeja-T Mariah Carey.



Sinopsis


Filem berkisarkan ejen Mossad bernama Zohan Dvir yang memalsukan kematiannya bagi memenuhi impiannya bergelar pendandan rambut. Penghijrahannya ke New York, tidak diketahui sesiapa. Bagaimanapun kerana popularitinya mengaut keuntungan dari sebuah kedai salon di bandar berkenaan, Zohan mula menjadi buruan pihak musuh.


Dengan harapan bagi mendapatkan pulangan lumayan atas kejayaan menangkap Zohan untuk diberikan kepada pihak musuh, strategi yang digunakan bukanlah sebarangan, kerana Zohan cukup tangkas dan 'berkuasa' ala superhero.