Kala Malam Bulan Mengambang


Sinopsis:
‘Kala Malam Bulan Mengambang’ adalah sebuah filem hitam putih yang merungkai misteri kehilangan pemuda di pekan Senduduk Rimbun pada setiap kali purnama menjelang. Misteri bermula apabila tayar kereta Saleh, seorang wartawan ditusuk sesuatu yang menyerupai rangka tangan sedang memegang ukiran lama berbentuk keris. Tayar kereta yang pancit menyebabkan Saleh terpaksa menghantar keretanya ke bengkel Jongkidin dan bermalam di pekan itu. Sepanjang berada di pekan Senduduk Rimbun, Saleh menyedari penduduk pekan itu seakan-akan menghalaunya pergi dari situ. Semakin lama Saleh tinggal di pekan itu, semakin banyak perkara misteri berlaku. Ada orang tangan merah! Ada jembalang! Ada keris! Walaupun telah diberhentikan tugas sebagai wartawan tetapi naluri kewartawanan yang sangat kuat dalam dirinya menyebabkan Saleh bertekad merungkai setiap kejadian misteri yang berlaku di pekan Senduduk Rimbun. Nantikan kemunculan ‘Kala Malam Bulan Mengambang’, sebuah karya hitam putih berlatarkan tahun 1950an yang dibintangi Rosyam Nor, Umie Aida, Farid Kamil, Avaa Vanja, Corinne Adrienne, Bront Palarae, Kuswadinata, David Teo, Mohd Hitler Zami, Sofi Jikan dan Corrie Lee.