The Orphan


Kisah bermula sebagai seorang budak perempuan baik yang dari sebuah rumah anak yatim, Esther, 9, diambil sebagai anak angkat oleh pasangan John dan Kate Coleman. Sebelum itu, Kate telah digambarkan sebagai pernah melalui tempoh yang sangat sukar dalam hidupnya apabila kematian anak ketiga mereka sewaktu mengandung.


Dengan harapan untuk menceriakan kembali kehidupan mereka, keluarga Coleman mengambil Esther tinggal dengan mereka. Pada mulanya, semua kelihatan baik tapi perangai syaitan Esther mula terburai hari demi hari namun dia sangat pandai bersandiwara. Bagaimanapun hanya penonton dan Kate sahaja yang tahu sikap buruk Esther selain dua lagi anak kandung Kate yang sering diugutnya.


Daripada membunuh seekor burung, kepada seorang rahib di rumah kebajikannya sendiri, Ester juga mahu membunuh abang angkatnya sendiri, Daniel. Babak di bilik ICU adalah kemuncak di mana Kate sendiri tidak tahan lagi dengan sandiwara Esther lalu melempang pipinya.


Di sebalik senyuman dan bakat melukis itu, kita akhirnya melihat seorang kanak-kanak psiko telah menghantui keluarga itu. Pada akhir cerita, rahsia siapa sebenarnya Esther terbongkar dan ia sungguh mengejutkan. Mesej utama filem ini - pastikan siapa anda bawa masuk ke rumah anda!


Sinopsis

Kate dan John Coleman melalui saat getir dalam rumah tangga apabila anak ketiga mereka, Jessica, mati ketika dalam kandungan. Peristiwa itu amat sukar diterima Kate yang pada masa sama, mengalami masalah ketagihan alkohol.


Bagi mengatasi kesedihannya, Kate menabur abu mayat Jessica di pasu pokok bunga ros putih di tamannya dan meletakkan plak yang terukir kata-kata kenangan sebagai mengingati anaknya yang sudah tiada itu.


Selepas beberapa lama, pasangan suami isteri itu pun mengambil anak angkat iaitu seorang kanak-kanak perempuan bernama Esther dari sebuah rumah kebajikan.


Berbeza dengan kanak-kanak sebayanya, Esther lebih banyak menghabiskan masa dengan bersendirian melukis dan menyanyi. Kebijaksanaannya yang mampu bertutur dan melahirkan pendapat membuatkan pasangan itu berminat mengambil Esther sebagai anak angkat.


Namun di situlah bermulanya mimpi ngeri dalam kehidupan keluarga mereka.