The Private Lives of Pippa Lee




Pada awal tayangan, penonton sukar untuk menduga setiap watak yang ditampilkan mahupun mengagak jalan ceritanya. Plot yang sedikit berat ini hampir kearah filem psiko, bagaimanapun jelas memaparkan gaya hidup yang tidak sihat termasuk, biadap terhadap ibubapa, saling tidak percaya, curang dan masalah dadah.
The Private Lives of Pippa Lee memerlukan penghayatan dan konsentrasi yang tinggi kerana ia tampil dengan 2 versi dan salah satunya mengimbas pengalaman lalu. Dengan itu penonton dinasihatkan menontonnya di pawagam bagi mengurangkan gangguan itu.


Moral yang ingin disampaikan pengarahnya begitu jelas dan berkesan. Sikap biadap Pippa terhadap ibunya Suky seperti dibalas, yang mana anaknya turut mengikut jejaknya. Ia bak hukum karma.


Kisahnya bermula dengan ibu Pippa yang sering dipengaruhi pengaruh dadah jenis amphetamines. Dadah tersebut yang bertujuan untuk menenangkan stress dalam diam-diam membawa kesan iaitu berperangai pelik.


Pippa yang tidak tahan dengan perangai ibunya itu turut mengambil dadah tersebut sebelum melarikan diri. Hidup tanpa keluarga buat sekian lama menyebabkan dia terjebak dengan masalah remaja.


Hidupnya bagaimanapun berubah apabila Pippa mengenali seorang penulis, Herb Lee (Alan Arkin). Perkenalan mereka membawa ke gerbang perkahwinan. Pippa yang memiliki sebuah kehidupan yang sempurna dengan membesarkan 2 orang anak bersama Herb, masih tidak cukup memuaskan hatinya.


Walaupun sudah lama berkeluarga sehingga anak mereka sudah dewasa, perasaannya yang ingin bebas begitu kuat. Ia bertambah parah apabila Herb berlaku curang dengan mengadakan hubungan sulit dengan kawab karibnya Sandra. Dua hari selepas itu Herb meninggal dunia akibat diserang sakit jantung, bagaimanapun Pippa tidak menghadiri majlis pengkebumian kerana kecewa dengan Herb. Tidak diduga dia turut jatuh cinta dengan jirannya Chris sehingga mengadakan hubungan sulit. Pippa melarikan diri bersama Chris, meninggalkan anak-anaknya.


Penghayatan watak yang dibawa oleh Robin Wright Penn sungguh berkesan. Permainan emosi dalaman membantu menghidupkan watak sebagai seorang ibu dan isteri yang penyayang, bertanggungjawab tetapi mempunyai perasaan tersembunyi. Walaupun begitu, wataknya sedikitpun tidak nampak jahat atau bermasalah.


Tidak dinafikan The Private Lives of Pippa Lee agak perlahan dan membosankan, namun sekiranya ditonton dengan penuh penghayatan ia memberi kesan yang mendalam.