Saus Kacang


Kisah seorang gadis cantik, Dewi lakonan Bunga Citra Lestari yang pernah dikecewakan seorang lelaki yang menjadi pelanggan di hotel tempat dia bekerja. Suatu hari, Dewi bertemu dengan jejaka Malaysia, Fredo (Ashraf Sinclair) iaitu seorang pelanggan hotel yang cerewet dan sering menimbulkan masalah.

Bagaimanapun, Saus Kacang menarik apabila mempamerkan Bunga (Dewi) sebagai pekerja hotel yang sangat berpengaruh. Pun begitu, Dewi sering dihantui kisah silam cintanya bersama pelanggan yang pernah datang sebelum kedatangan Ashraf (Fredo) yang cerewet dan banyak menimbulkan masalah.

Watak Fredo mewakili pelancong dari Malaysia yang ingin mencari ketenangan selepas percintaannya bersama Mae (Marsha) menemui jalan perpisahan. Walaupun Ashraf warganegara Malaysia, penulis agak pelik apabila gaya dan bahasa yang digunakan Ashraf tidak menggambarkan dia orang Malaysia pun.

Cara percakapan Ashraf lebih kepada bahasa Indonesia. Mungkin 'karena' Ashraf sendiri memperisterikan wanita Indonesia. Pun begitu, penulis kagum dengan Marsha kerana dia tetap dengan bahasa Malaysia sesuai dengan wataknya itu.

Menyambung kisah cerita ini, tragedi balas dendam Dewi terhadap Fredo ditimpa musibah sehingga mereka didenda akibat melanggar pantang larang Hari Raya Nyepi. Perayaan ini juga membuatkan penulis ingin tahu budaya yang sungguh terkenal di Pulau Bali itu.

Menyentuh lakonan Bunga, dapat dirasakan ia ada peningkatan yang besar walaupun dia seolah-olah menjadi dirinya sendiri. Tidak pada Ashraf, sungguhpun ada sedikit peningkatan dari segi lakonan, ada beberapa babak dalam filem ini Ashraf agak over-acting yakni seperti dibuat-buat.

Ia dapat dilihat pada babak Ashraf menangis yang seakan seperti ketawa. Bagaimanapun, babak ciuman suami isteri ini banyak dipotong kerana dirasakan kurang sesuai untuk masyarakat tempatan.

Penulis kagum dengan Marsha yang menjadi Mea iaitu bekas tunang Fredo. Lakonannya menjadi tetapi ada setengah babak meninggalkan tanda tanya. Motif kemunculan Mea tidak diketahui dan ia seperti tergantung.

Selain Marsha, Saus Kacang juga menampilkan vokalis Samsons, Bams yang menjadi suami kawan baik Dewi. Malah, penonton juga boleh menyaksikan persembahan secara live kumpulan Samsons ketika babak romantis Ashraf dan Bunga di atas kapal.