Sorority Row


Filem arahan Stewart Hendler boleh dilabelkan sebagai filem seram lain seperti I Know What U Did Last Summer dengan corak penceritaan yang agak klise. Namun, Sorority Row tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjanjikan babak hebat yang mungkin akan membuatkan anda terpaku menontonnya. Bukanlah hanya bersandarkan kepada watak gadis seksi namun mengagumkan mereka dapat menjiwai watak dengan berkesan sekali. Aksi pembunuhan yang ngeri membuatkan filem ini lebih menarik dan logik ditonton berbanding Final Destination 4.


Cerita ini bermula apabila lima sahabat baik daripada kediaman Theta Pi cuba untuk melakukan jenaka apabila teman lelaki Megan, Garret curang terhadapnya. Megan berpura-pura mati akibat dadah yang diberi Garret. Bagaimanapun jenaka tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri yang tidak mungkin dapat dilupakan apabila Garret yang ketakutan telah menikam Megan dengan besi pemutar tayar kerana bimbang mayatnya akan terapung dan dijumpai. Anggota Theta Pi panik dan telah membuang mayat Megan ke dalam sebuah perigi di tempat perlombongan dan berjanji tidak akan berkata mengenai peristiwa itu lagi.

Namun, kejadian tersebut kembali menghantui mereka selepas malam graduasi apabila seorang demi seorang yang terlibat telah dibunuh dengan kejam. Sebuah filem seram yang mungkin akan membuatkan anda tidak senang duduk kerana babak ngeri yang dipaparkan. Namun yang menjadi persoalannya siapakah yang bertanggungjawab membunuh anggota Theta Pi berkenaan.

Keseluruhannya filem ini mampu menarik minat golongan muda untuk ke pawagam. Plot cerita yang kuat dan skrip yang menarik namun sebab utama pembunuhan ini mungkin agak longgar. Sorority Row dibintangi oleh Briana Evigan (Cassidy Tappan), Leah Pipes (Jessica Pierson), Rumer Willis (Ellie), Jamie Chung (Claire), Margo Harshman (Charlene) dan Audrina Patridge (Megan). Saksikannya di pawagam berdekatan anda.