X-Files: I Want To Believe


X-Files: I Want To Believe tidak sehebat filem pertamanya pada 1998 dulu yang memaparkan makhluk asing pernah terhempas di kawasan khutub.


Kali ini pasangan Ejen Dr Scully dan Moulder cuba merungkaikan misteri kehilangan beberapa wanita termasuk Ejen FBI, Monica Banan, di satu kawasan salji tebal. Dalam pencarian mereka, pasangan ini bertemu dengan seorang tahanan jenayah, Father Crissman yang mempunyai suatu kuasa psikik. Dia mendakwa dia adalah utusan Tuhan yang boleh melihat dan mengesan kejadian jenayah.


Awalnya, Dr Scully tidak percaya, tetapi selepas beberapa siri pencarian yang dibantu Crissman, barulah bukti-bukti penting ditemui sehingga mereka berjaya mengesan satu jenayah pelik dan misteri dalam dunia perubatan.


Rupanya, mereka yang hilang itu menjadi bahan satu eksperimen ala Dr Frankestein Moden oleh saintis dan pakar bedah keturunan Eropah di mana bahagian tubuh atau organ manusia yang berbeza-beza dicantum-cantumkan untuk mengubah identiti seseorang itu.


Dalam hal ini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa X-Files itu sebenarnya boleh menggunakan khidmat penyiasat CSI berbanding Ejen Moulder dan Scully. Memang ada elemen supernatural seperti titisan darah keluar dari mata Crissman namun ia tidak cukup kuat untuk menghebatkan filem ini.


Pun begitu sedikit babak saspen terselit dalam filem ini tetapi kemuncaknya menjadi satu anti-klimaks dalam konteks X-Files. "Itu saja?" tanya penulis kepada rakan yang sama-sama menyaksikan filem ini selepas kredit nama muncul pada babak akhir. Secara perbandingan, filem pertama dulu jauh lebih menarik dan memikat.