Hannibal Rising


Sinopsis
Filem ini bermula dengan era perang yang juga zaman kanak-kanak Hannibal di Lithuana bersama adik perempuannya, Mischa. Ayah mereka, Count Lecter dan ibu, Madame Simonetta Sforza, adalah pasangan aristokrat yang disegani ketika itu. Perang tidak pernah kenal pangkat dan darjat. Seluruh keluarga mereka terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di sebuah teratak terpencil.

Dalam keadaan trauma dan ketakutan, Hannibal dan Misha melihat orang tua mereka terbunuh apabila teratak mereka diserang pihak musuh.Seterusnya, ketakutan dua beradik berlarutan apabila mereka pula menjadi mangsa tawanan sekumpulan askar Nazi yang menceroboh.

Di sinilah kekejaman yang tidak pernah difikirkan, terjadi. Penonton akan bersimpati dengan nasib Hannibal dan mula memahami kenapa dia menjadi seorang kanibal apabila Mischa dibunuh dan menjadi santapan kepada askar yang sedang kebuluran di tengah-tengah musim sejuk!

Beberapa tahun selepas Hannibal diselamatkan, dia dibesarkan di sebuah rumah kebajikan. Ketika ini sikapnya berubah menjadi pendiam, serius dan suka memberontak. Tidurnya pula sering diganggu bayangan silam, melihat adik kandungnya menjadi mangsa kekejaman perang.

Hannibal kemudian melarikan diri ke Perancis mencari ayah saudaranya yang berkahwin dengan seorang wanita Jepun, Lady Murasaki (Gong Li). Lady Murasaki yang sudah menjanda, amat memahami segala penderitaan Hannibal malah sedia mendidik dan melindunginya.

Ketika inilah, pembalasan dendam Hannibal bermula selepas Murasaki dicabul di tengah-tengah pasar. Mangsa pertamanya seorang penjual daging yang kurang ajar. Kepalanya dipancung lalu ia menjadi menimbulkan kegemparan.

Selepas diburu pihak berkuasa, Hannibal dan Murasaki terus berpindah ke Paris. Pada masa yang sama, pembalasan dendam Hannibal semakin menjadi-jadi apabila dia memburu setiap askar yang pernah menjamah mayat adiknya dulu, Mischa. Ringkasnya, segala persoalan kenapa Dr Hannibal menjadi kanibal sudah terjawab dalam filem ini.