I Am Legend



Mengisahkan kecekalan seorang penyelidik perubatan tentera, Robert Neville yang merasakan hanya dia seorang sahaja yang terselamat daripada bencana virus melanda dunia. Hidup bersendirian bertemankan seekor anjing bukannya mudah, apatah lagi berhadapan dengan makhluk yang dahagakan darah tatkala mentari terbenam.

Siapa yang tidak suka dengan lakonan Will Smith. Filem Independence Day lakonannya mampu membuktikan kemampuan pelakon ini dalam memegang peranan berat bagi filem bercorak sci-fi dan aksi.

I Am Legend adalah satu lagi contoh filem yang membuktikan kemampuan Will Smith, walaupun kali ini tidak ramai pelakon utama berada di sekelilingnya sebagaimana Men In Black dan I Robot.

Dari sudut itu, I Am Legend berjaya. Namun dari cetusan idea, I Am Legend ternyata menggunakan idea lapuk atau kebiasaan yang digunakan dalam mana-mana filem terbitan Hollywood, kala ini.

Elemen dijangkiti virus, kemunculan mutan, mahupun pontianak, kemusnahan sebuah bandar besar akibat bencana atau peperangan, sudah dianggap biasa dan bukanlah benda baru yang boleh dihayati bersama.


Entah apa sajalah, motif I Am Legend menceduk idea serupa itu untuk difilemkan? Adakah produksi Hollywood itu sudah ketandusan idea?. Malah ada yang mengaitkan filem berkenaan dengan Resident Evil. Mungkin ada benarnya juga.
Namun, pujian sepatutnya diberikan dari segi kesan khas teknik penggambaran filem-filem terbitan Hollywood termasuklah I Am Legend yang sering membanggakan kita.

Bayangkan bandaraya New York yang mendapat jolokan City That Never Sleep tiba-tiba berubah menjadi senyap sunyi dan diselubungi rumput serta lalang. Ia menakutkan.

Bangunan pencakar langit, dilitupi plastik tampak realistik meskipun itu hanyalah simbahan teknologi perfileman yang semakin canggih tanpa batasan. Makhluk yang tinggal hanyalah Robert Neville, anjing kesayangannya, serta binatang seperti rusa serta singa yang mungkin terselepas dari Zoo Central Park.

Kehidupan Robert agak mewah kerana apa saja benda yang ada di muka bumi ini menjadi miliknya. Dari pasaraya, kapal terbang pejuang, kapal laut sehiggalah kepada bangunan pencakar langit, semua menjadi miliknya seorang diri.

Rupanya tidak, apabila tiba malam, dia berdepan dengan kemunculan pontianak, zombi dan makhluk mutasi yang dahagakan apa juga darah dan daging yang masih bernyawa.

I Am Legend atau Akulah Lagenda bukanlah bermakna Robert satu-satunya insan yang masih hidup di atas muka bumi sebagaimana yang difahami menerusi trailer filem berkenaan, sebaliknya legenda Robert Neville adalah lebih kepada penemu vaksin untuk melawan sejenis virus yang begitu durjana.

Sinopsis

Sebijak-bijak penyelidik perubatan tentera, Robert Neville tidak dapat menghalang virus buatan manusia daripada ganas merebak dan menghapuskan spesies manusia. Akhirnya, Robert yang entah bagaimana kebal daripada dijangkiti virus berkenaan menjadi manusia terakhir di New York!

Lantas, dalam tempoh tiga tahun, Robert dengan penuh kesabaran menghantar mesej melalui radio dan dalam terdesak mencari adakah manusia lain selain dirinya yang terselamat. Namun dia sebenarnya tidak keseorangan kerana mengekorinya adalah bayangan mangsa virus tersebut yang sudah bertukar menjadi pontianak ganas dan zombi.

Dari jauh mereka menjejaki untuk mencari mangsa yang terakhir. Demi menyelamatkan manusia di muka bumi, Robert berusaha melepasi jerat musuh tersebut dan menggunakan darahnya sebagai penawar untuk menghidupkan semula manusia.