Januari


Sesat dihujung jalan, pulang ke pangkal jalan. Perjalanan Aniq, Taha dan Acis hanyalah sebuah metafora alam terhadap pelbagai kisah permasalahan hidup remaja dalam menjadi seorang manusia berwawasan. Plot kisah pergolakkan hidup remaja ini melatari telemovie menarik khas tahun baharu bertajuk Januari pada 3 Januari 2010 (Ahad), jam 10.00 malam yang disiarkan mengisi slot Sinema Ahad On 2 di TV2

Januari membawakan plot kisah Taha yang mengetuai kumpulan budak-budak nakal di kawasan kampungnya di anggotai oleh Kumar dan Acis. Kumpulan Taha digeruni oleh semua budak-budak nakal yang lain, dan mana-mana budak yang inginkan perlindungan Taha diwajibkan membayar wang perlindungan.
Hal demikian tidak termasuk Aniq yang seringkali didatangi Taha untuk membantunya menyimpan barang-barang curian. Aniq dilindungi oleh Taha meskipun tidak membayar wang perlindungan. Aniq juga bekerja sambilan di bengkel Lobai sebagai mekanik motorsikal.
Acis dalam diam menyimpan rasa tidak puas hati pada Taha yang disifatkannya tidak cukup ganas dan selalu memonopoli hasil curian tanpa memikirkan orang yang melakukan kerja tersebut. Acis bertindak keluar dari kumpulan Taha dan menubuhkan kumpulannya bersama beberapa pengikutnya.
Mereka lebih berani dan tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa mereka sekiranya dihalang. Acis telah menganiaya Taha dan menyebabkan Taha dihukum masuk ke Pusat Pemulihan Akhlak selama 4 tahun. Kumar menyimpan dendam pada Acis kerana telah menyebabkan Taha meninggalkan mereka dan mengambil keputusan bersemuka dengan Acis untuk membuat perhitungan.
Dalam kejadian tersebut, Acis terbunuh. Aniq yang hanya menjadi pemerhati kepada segala yang berlaku pada kawan-kawannya, meneruskan kehidupannya. Perhubungannya dengan Fitrah dihalang oleh keluarga Fitrah yang telah bertindak menghantar Fitrah menyambung pelajaran ke luar negara.

Bekerja di kedai bapa Mei menyebabkan hubungannya dengan Mei berlanjutan dari kawan pada kekasih. Bapa Mei berhasrat memberikan kedai tersebut untuk diuruskan oleh Mei dan Aniq. Namun apakah kesudahannya? Mampukah mereka mengecapi kebahagian seperti yang diinginkan? Pastikan anda meluangkan masa menyaksikan Januari pada 3 Januari 2010 (Ahad), jam 10.00 malam di TV2.