Milik Siapa Hati Ini


Drama bersiri Milik Siapa Hati Ini akan bersiaran mulai 3 Januari 2010, pada setiap Ahad jam 8.30 malam hingga 9.30 malam. Milik Siapa Hati Ini bakal bersiaran selama 26 minggu . MILIK SIAPA HATI Ini, arahan pengarah muda, Harris Fadzillah mengisahkan kasih sayang dan pengorbanan seorang kakak terhadap adiknya setelah bapa mereka meninggal dunia. Ibunya adalah ibu tunggal yang terpaksa meneruskan kehidupan dengan hasil wang pesaraan arwah suaminya. Yasmin (Min) seorang wanita yang rajin dan bertanggungjawab terhadap keluarganya. Setelah tamat pengajiannya di Universiti, dia mendapat pekerjaan sebagai eksekutif di sebuah syarikat milik Dato’ Mansur. Demi hasrat untuk membalas jasa dan pengorbanan ibunya Khadijah, dia sanggup membahagikan wang gajinya untuk perbelanjaan hariannya sekeluarga meskipun adiknya Lukman masih menuntut di kolej swasta. Sikap Lukman berbeza dengan kakaknya. Sejak dia di kolej dan berkawan dengan anak orang kaya bernama Jaziman (Just), dia terpengaruh dengan sikap Just yang suka berhibur dan bergaya. Akibat suka berboros Lukman terpaksa menipu kakaknya untuk meminta wang belanja di kolej yang kononnya untuk tujuan pelajaran.
Min pula seorang yang lemah lembut dan penyabar. Di pejabatnya, dia amat diminati dan disenangi oleh rakan-rakan sepejabatnya. Tetapi, Min tidak pernah ambil kesempatan atas kelebihan pada dirinya, Baginya hati Min sudah dicuri oleh seorang eksekutif bernama Roslan. Mereka saling mencintai namun, sikap Roslan yang kuat cemburu membuatkan Min kurang senang. Akibatnya, Min mula tidak senang hati tambahan pula sikap adiknya mula menjadi-jadi yang suka berbelanja. Dugaan datang bertimpa-timpa yang dilalui oleh Min. Namun, sikap sabar dan tenangnya membuka jalan yang baik buatnya apabila dia ditemukan dengan seorang lelaki yang amat memahami masalahnya. Drama ini menampilkan pelakon hebat Intan Azura, Syed Ali, Dian P.Ramlee, Dato’ Jalaluddin Hassan, Nazim Othman, Tony Eusoff, Roy Azman, Zarynn Min, Ozlyn Wati dan Khaty Azean.