Phobia 2



filem seram Phobia 1 (4bia atau See Phrang) diteruskan ke bahagian 2(Phobia 2). Phobia 2 adalah gabungan lima filem seram pendek iaitu Novice, Ward, Backpackers, Salvage, dan In The End.

SINOPSIS 4bia (PHOBIA1) = http://ceritadimataku.blogspot.com/2009/10/4bia.html



Novice (Paween Purijitpanya)


Filem ini mengisahkan seorang budak berusia 14 tahun bernama Pey yang telah melakukan jenayah Pa-Hin (membaling batu, kemudian mencuri barang-barang mangsa), dan kemudiannya dihantar oleh ibunya untuk menjadi sami Buddha bagi mengelakkan Pey dari dihukum oleh undang-undang jenayah membunuh. Namun, hukum 'karma' tetap tidak dapat dielakkan, Pey akhirnya menjadi hantu lapar. Semasa menjadi sami, Pey sempat mencuri makanan hantu lapar, dan ini menyebabkan hantu lapar yang umpama raksasa galah memburunya pada waktu malam. Filem pertama ini diakhiri dengan babak yang memaparkan keganasan. Kebanyakan penonton tidak sanggup melihat wajah Pey hancur dibaling batu.


Ward


Seorang budak bernama Arthit telah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kedua-dua belah kakinya tercedera teruk akibat tertikam kaca. Arthit telah dipindahkan sebuah wad di mana terdapat seorang lelaki tua yang juga merupakan ketua penganut ajaran sesat dan paranormal. Pada hari menjelang kematian lelaki tersebut, para penganutnya membaca doa dan melakukan upacara yang sungguh misteri. Malam itu, Arthit sering diganggu oleh roh lelaki tua itu. Dan sesuatu telah berlaku di mana lelaki tua itu berjaya membunuh Arthit, dan hidup semula di dalam jasad muda yang sebelum ini kepunyaan Arthit. Rupa-rupanya pihak hospital bersekongkol dalam hal ini.


Backpackers

Dua orang remaja Jepun mengembara ke Thailand dan berhajat menumpang kenderaan penduduk tempatan. Nasib mereka agak baik apabila berjaya menumpang sebuah lori. Rupa-rupanya lori tersebut menyimpan beberapa orang penyeludup dadah secara paksa yang kemudiannya berubah menjadi sesuatu yang mengerikan. Saya suka babak-babak dalam filem ini yang ternyata penuh dengan aksi yang mencemaskan. Filem ketiga ini telah mengundang simpati dan rasa seram kepada para penonton. Aksi-aksi zombie seperti dalam filem 28 Days Later dan seumpamanya boleh dilihat menerusi filem pendek ini.


Salvage

Nuch, seorang ibu dan juga seorang penjual kereta terpakai. Kebanyakan kereta terpakai memiliki sejarah seram yang tersendiri. Ramai orang takut memakai sesuatu kenderaan jika mereka mengetahui bahawa kenderaan tersebut pernah terlibat dalam kemalangan maut. Pada malam itu, Nuch telah melalui satu peristiwa paling menyeramkan dan juga paling menyedihkan. Filem ini adalah kemuncak di mana penonton diseksa dan sudah fobia untuk menonton filem Phobia 2.


In The End

Filem seram yang terakhir ini amat kelakar walaupun sekali imbas filem ini menilai tahap setiakawan seseorang terhadap individu lain. Filem ini melibatkan banyak 'twist' plot dan setiap 'twist' plot disertakan dengan alasan dan jalan cerita yang kelakar juga. Lebih baik menonton sendiri filem terakhir ini kerana filem ini ternyata berjaya mengendurkan rasa takut dan fobia para penonton apabila menonton filem Phobia 2. Boleh dikatakan filem terakhir ini adalah senaman menyejukkan rasa seram di kalangan penonton. Filem ini juga memaparkan kehebatan penyolek-penyolek wajah filem seram selain menjadikan kehebatan aksi-aksi visual dalam filem ini sebagai sesuatu yang sebenarnya mudah dan ringkas. Tidak perlu fikir susah kerana bendanya mudah.