Tari Tirana


Tirana ialah seorang gadis remaja dari Singapura yang bercinta dengan penyanyi pop terkenal di Singapura, Ash. Hubungan cinta mereka terputus disebabkan pengurus Ash, Vee yang mahukan Ash menumpukan perhatian pada kerjaya dan juga kerana ayah Tirana, Tajudin, mahukan Tirana mempunyai masa depan yang cemerlang dengan menjadi seorang peguam sepertinya. Percintaan mereka terputus membuatkan Tirana kecewa lalu membawa diri dan tidak mahu pergi ke London sebagaimana permintaan ayahnya.

Tajudin mempunyai agenda lain dengan menghantar Tirana ke London. Tajudin sebenarnya mahu jodohkan Tirana dengan Ryan. Tetapi tanpa pengetahuan Tajudin, Tirana telah berlaku jujur dengan Ryan dan menceritakan segalanya. Ryan yang bersimpati dengan konflik yang dihadapi Tirana membantunya termasuklah menguruskan urusan Tirana ke Kuala Lumpur, yang pastinya tidak diketahui langsung oleh Tajudin.

Tirana tinggal dengan datuknya Haji Mohsen, yang sudah lama tidak ditemui dan sejak itu episod baru kehidupan Tirana pun bermula. Tirana mendaftarkan dirinya di Universiti Lim Kok Wing dan semasa di sana bersama rakan karibnya, Tirana menyedari bahawa dia meminati tarian. Dia menyertai kumpulan tarian dan begitu teruja untuk menyertai kumpulan tarian yang diketuai oleh Chika yang akan memasuki pertandingan Tarian.
Malangnya, Chika tidak begitu sukakan Tirana dan memastikan Tirana tersingkir dengan cara terhormat. Mereka yang mengetahui niat buruk Chika sangat marah tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Sebenarnya Chika kurang senang dengan Tirana kerana merasakan Tirana mampu menyainginya dalam tarian dan kerana kekasih Chika, Neo kelihatan mesra bersama Tirana. Sebagai gadis yang kuat semangat, Tirana masih tidak mengalah dan menubuhkan kumpulan tarian sendiri untuk sertai pertandingan tersebut. Pada masa yang sama, hubungan Chika dan Neo

yang semakin dingin, menyebabkan Neo menghampiri Tirana. Gadis ini terus diuji sehinggalah ke hari pertandingan akhir tarian, Tirana tewas ke tangan Chika. Ketika hari pertandingan tersebut Tirana mendapat tahu mengenai satu perkara yang menyentap perasaanya.
Walaupun Tirana tewas, tetapi kumpulannya mendapat perhatian paling banyak dari pihak luar. Ash pula bila mengetahui Tirana masih ada di rantau ini, berhasrat mahu menebus kembali kesalahan yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Tirana kemudian terbabit dalam hubungan cinta tiga segi di antara dia, Ash dan juga Neo. Siapa yang bakal Tirana pilih sebagai teman lelakinya? Chika pula tidak akan berdiam diri. Ryan pula sebenarnya memang mempunyai hati kepada Tirana. Bagaimanakah kesudahan kisah kehidupan Tirana ini? Mampukah dia mencipta nama sebagai penari dan apakah yang terjadi setelah bapanya mengetahui perkara sebenar? Sama-sama kita saksikan kesudahan Tari Tirana!