my name is khan




MNIK berkisar tentang perjalanan hidup seorang lelaki bernama Rizwan Khan lakonan SRK yang mempunyai sindrom lembab. Rizwan menganut agama Islam dan kelakuannya agak pelik dari orang lain tetapi mempunyai akal yang bijak.
Kehidupan Rizwan tidak sama seperti orang lain di mana hidupnya tidak pernah kenal erti gembira atau pun sedih.

Rizwan mempunyai seorang adik lelaki lakonan Jimmy Shergill yang cemburu dengan Rizwan yang mendapat layanan istimewa dari ibunya yang dilakonkan Zarina Wahab. Akibat cemburu, adiknya meninggalkan Rizwan dan ibunya dengan bekerja di Amerika Syarikat.

Selepas ibunya meninggal dunia, Rizwan nekad untuk menetap di Amerika Syarikat dan berjanji kepada arwah ibunya bahawa dia juga boleh berjaya seperti adiknya yang mengemudi sebuah syarikat produk India yang dikenali.

Setibanya di Amerika Syarikat, adik ipar Rizwan mendapati Rizwan mempunyai penyakit yang takut kepada warna kuning dan bunyi bising. Namun, Rizwan bertuah kerana mendapat rawatan pakar atas bantuan adik iparnya yang bekerja sebagai pensyarah di salah sebuah universiti terkenal di Amerika Syarikat.

Sambil menjalani rawatan, Rizwan bertugas sebagai juru jual produk kecantikan syarikat adiknya. Suatu hari, Rizwan berjumpa Mandiha lakonan Kajol dan menyedari perasaan berlainan setiap kali berjumpa Mandiha.

Mandiha adalah seorang ibu tunggal dan bekerja di sebuah salon. Mandiha mempunyai seorang anak bernama Sameer yang tidak pernah tahu siapakah ayahnya kerana ibu dan anak ini sudah terpisah sejak Mandiha berumur 22 tahun.
Kehidupan Rizwan berubah selepas berkahwin dengan Mandiha. Pun begitu, kehidupan Rizwan lebih berat setelah Sameer meninggal dunia atas dasar masalah perkauman yang dihadapi mereka.

Kemurungan yang dihadapi Mandiha membuatkan Rizwan gusar. Dengan perasaan marah, Mandiha menghalau dan mengarahkan Rizwan keluar dari rumah serta mencari presiden Amerika untuk memberitahu bahawa anaknya bukanlah anak kepada seorang pengganas. Dalam kemarahan itu, Mandiha menyesal dengan perkahwinannya bersama Rizwan yang menganut agama Islam.

Di sini bermulalah destinasi perjuangan Rizwan sebagai bapa yang amat cintakan isteri dan anaknya. Dalam pencarian untuk berjumpa presiden, pelbagai cabaran yang dihadapinya sehinggakan dia menjadi terkenal. Pun begitu, Rizwan ditikam bunuh sebelum dapat berjumpa presiden.


Penuh kontroversi

MNIK bukan karya komersial Hindustan yang biasa. Selain cinta dan kegembiraan, sebaliknya MNIK dilihat sebagai pendekatan lain yang menyentuh aspek politik dan agama. Percubaan Karan juga dilihat terlalu kebaratan seperti membikin sebuah filem yang berwajah Hollywood.

Tapi setidak-tidak filem edaran Fox Star Entertainment ini mencatat sejarah tersendiri apabila diundang menyertai Festival Filem Berlin yang diadakan sejak 11 hingga 21 Februari ini. Bagaimanapun, di beberapa lokasi di India, SRK turut menimbulkan kemarahan pengikut parti pelampau Hindu, Shiv Sena berhubung kenyataannya mengenai Liga Kriket Perdana India (IPL).

Pelakon itu yang mempunyai pasukan IPL, Kolkata Knight Riders dikecam oleh parti itu kerana memuji pemain Pakistan. Selama ini parti berkenaan tidak boleh bertolak ansur dengan sesiapa yang memuji kehebatan rakyat Pakistan dan mereka cuba menghalang tayangan filem lakonan Shah Rukh itu di Mumbai sebagai tanda protes.

Kemarahan mereka nyata meluap luap apabila ada yang mengoyak poster filem itu. Malahan protes ini turut menyaksikan campur tangan aktivis India Muslim di sana. Aktivis ini mendakwa aktor Bollywood yang berakhir dengan nama Khan seperti Aamir Khan, Salman Khan dan Shah Rukh Khan sendiri sebagai anti nasionalis.