Hooperz






hari ini aku bg sinopsis filem hooperz yang akan ditayangkan di panggung Wayang bermula hari ini. aku tengah busy dengan exam.. so, aku juz letak kreadit review filem hooperz kat korang. doakan aku berjaya dalam exam ok..

1) TUPAI - Portal hiburan terkini

Tujuh gadis dan permainan bola jaring. Inilah yang bakal disaksikan oleh peminat filem tempatan buat julung kalinya apabila "Hooperz" berada di pawagam 22 April akan datang. Menampilkan muka baru, Intan Nor Saina sebagai pelakon utama, buah tangan bersama Rosihan Zain dan Sheikh Munasar ini menjanjikan sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah anda saksikan di layar perak.



"Hooperz" mengisahkan kehidupan tujuh gadis dalam sebuah pasukan bola jaring - Atylia (Intan), Saidatul (Anita Baharum), Wan Zulaikha (Melissa Maureen), Nino, (Juliana Evans), AJ (Zazleen Zulkafli), Azwar (Akma Abdullah) dan Sue Lin (bekas pemenang tempat kedua Ratu Cantik Malaysia 2007/2008, Dawn Jeremiah). Pasukan mereka gagal beraksi dengan cemerlang di gelanggang dek kerana kesan daripada masalah peribadi yang dihadapi dan juga tiada sikap kerjasama antara mereka. Kehadiran jurulatih D (Adibah Noor) dalam pasukan tersebut adalah untuk membantu jurulatih Q (Amy Mastura) 'mengajar' dan mengubah nasib pasukannya itu.



Ini merupakan pertama kali kita dapat saksikan sukan bola jaring dipaparkan dalam drama atau filem tempatan. Mungkin kerana sukan ini lebih popular di kalangan pelajar sekolah dan kolej sahaja. "Hooperz" pasti mengembalikan nostalgia kepada penonton terutamanya kaum wanita yang pernah bermain dalam pasukan bola jaring sebelum ini. Mengetengahkan hubungan antara keluarga, teman dan juga semangat kerjasama, kita dapat saksikan bagaimana setiap watak berhadapan dengan konflik dan kesedihan masing-masing. Elemen komedi diselitkan agar ia lebih menghiburkan dan tidak membosankan. Walaupun filem ini dilihat lebih menumpukan kaum wanita sebagai 'target audience', ini tidak bermakna penonton lelaki akan dibiarkan begitu sahaja. Mungkin sesuatu yang bagus memberi sedikit pengetahuan buat penonton lelaki mengenai sukan bola jaring.



Walaupun Intan merupakan pelakon utama dalam filem ini, dia seolah-olah 'ditenggelamkan' oleh Melissa yang nyata mencipta nama lebih awal darinya. Lihat saja poster filem, Melissa yang diletakkan di posisi tengah dan wajah Intan pula tidak begitu jelas. Namun ia tidak bermakna Intan tidak pandai berlakon. Persembahan lakonannya tidak mengecewakan langsung. Walaupun masih setahun jagung dalam industri lakonan, kita dapat saksikan Intan bijak bermain dengan ekspresi muka dan wataknya. Tambahan pula watak Atylia ini sebenarnya mempunyai kecacatan di tangannya. Yang pasti penonton pasti terhibur dengan watak-watak yang terdapat di dalam filem ini. Pada yang tidak tahu, pelakon-pelakon yang terlibat sebenarnya tidak tahu bermain bola jaring. Namun setelah diberi latihan selama tiga bulan, penonton akan kagum melihat bagaimana prestasi mereka dalam masa yang singkat.


Diangkat sebagai filem komedi remaja terkini, "Hooperz" menjanjikan kelainanan yang pasti membuatkan anda terhibur. Kepada para lelaki, anda juga pasti akan terhibur menonton gadis-gadis comel di layar perak, bukan?





2) Harian Metro

UNTUK julung kali, penonton berpeluang menyaksikan filem genre komedi memaparkan gadis remaja menangani pelbagai konflik sesama sendiri dan keluarga menerusi sukan bola jaring.



Pelbagai masalah wujud antara mereka dapat disaksikan menerusi filem Hooperz yang akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 22 April ini. Filem arahan bersama Rosihan Zain dan Sheikh Munasar itu memberi sedikit kelainan dari segi barisan pelakon dan jalan penceritaan. Hooperz menggabungkan pelakon berpengalaman dan muka baru termasuk bekas pemenang tempat kedua pertandingan Ratu Cantik Malaysia 2007/2008, Dawn Jeremiah. Antara pelakon lain yang membintanginya ialah Amy Mastura, Adibah Noor, Intan Nor Saina, Melissa Maureen, Mustapha Kamal, Remy Ishak, Juliana Evans, Zazleen Zulkafli dan Anita Baharom.



Hooperz antara beberapa filem yang menjalani proses pasca produksi Dolby Mixing di Digital Mix Stage milik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), di Hulu Klang. Sewaktu ditemui pada sesi pratonton Hooperz di Cathay Cineleisure, Damansara, baru baru ini, Rosihan berkata, filem berkenaan berkisar mengenai sukan bola jaring yang agak jarang dipaparkan dalam drama atau filem tempatan.



"Pemilihan permainan bola jaring dibuat kerana sukan itu sering dianggap kurang popular dan lebih tertumpu di kolej. Bagaimanapun, kami menggarap setiap watak dengan latar tertentu digabungkan membentuk pasukan bola jaring. "Mereka berdepan konflik, kesedihan, bergaduh sesama sendiri dan persahabatan sepanjang bergandingan satu pasukan bertanding dalam pelbagai perlawanan. "Sebelum penggambaran, kami merujuk kepada filem sukan Jepun. Filem berkisar sukan banyak dihasilkan untuk meningkatkan imej kolej mereka. Sasaran kami untuk filem ini adalah golongan remaja berusia 12 tahun ke atas.




"Sebenarnya, kami memilih genre komedi digabungkan dengan aksi sukan bagi mewujudkan kelainan khususnya tanggapan terhadap remaja. "Biasanya apa disebut saja filem mengenai remaja, ia selalunya lebih berkisar mengenai masalah sosial dan perkara negatif. Ia seolah olah menggambarkan remaja cenderung ke arah jenayah hinggakan tidak ada ruang memaparkan diri sebenar mereka. "Apa lebih menarik, Hooperz turut menyelitkan elemen fantasi, keanehan dan tabiat semula jadi manusia yang dilakukan setiap hari tanpa disedari," kata Rosihan. Filem sepanjang 112 minit itu arahan pertama Rosihan yang sebelum ini lebih banyak bertindak sebagai penerbit dan penerbit eksekutif. Ia dijayakan dengan kerjasama antara MHZ Films, KL Motion Co dan Grand Brilliance Sdn Bhd dan filem pertama menjalani penggambaran menggunakan kamera Red One 4K.



Mengenai harapan terhadap filem itu, Rosihan berkata: "Saya mahu dengar penilaian penonton apa yang mereka dapat selepas keluar panggung. "Secara keseluruhan, saya berpuashati sekalipun berdepan kelewatan berikutan perubahan teknikal dihadapi sebelum dan selepas penggambaran. "Mengikut perancangan asal, Hooperz hanya filem bajet kecil dengan format stereo. Bagaimanapun, sebaik filem selesai penggambaran, studio Dolby Finas pun siap dibina di Hulu Klang. Jadi, kami perlu melakukan pengubahsuaian untuk disesuaikan mengikut format Dolby Surrounding Mix." Untuk mengetahui keistimewaan filem ini, jangan lupa saksikan Hooperz di pawagam tempatan mulai 22 April ini.


REVIEW FILEM :
1) http://www.youtube.com/watch?v=QmK-CFovawM
2) http://www.youtube.com/watch?v=G7vldkjWA7I






Share/Bookmark