Kata Kau (astro ria)



sekarang dah banyak game show tv yang popular macam jangan lupa lirik. so, makin hari makin bertambah program tv game show. arini aku nak share 1 program tv game show kat korang



‘Kata Kau’ Sedia Hukum Artis (mStar)

PROGRAM terbaru Astro Ria, Kata Kau bukan sahaja menghiburkan penonton dan peserta yang menyertai pemainan kuiz itu.

Malah ia juga menerapkan info dan maklumat semasa serta lama dalam industri muzik dan perfileman.

Program 26 episod yang disiarkan selama 30 minit yang dihoskan oleh Scha Alyahya dan Reza Mohamad itu merupakan permainan kuiz berunsurkan muzik yang menampilkan selebriti-selebriti tanah air dan pelanggan Astro berentap untuk menjawab pelbagai soalan.

Peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan bilangan ahli sebanyak tiga orang bagi setiap kumpulan. Setiap kumpulan akan diwakili oleh dua orang artis dan seorang pelanggan Astro yang bertuah. Dua hos itu juga akan mewakili setiap kumpulan itu.

Di antara selebriti-selebriti tanah air yang terlibat seperti Pop Shuvit, Meet Uncle Hussain, Saida, Saerah, Zed Zaidi, Adam AF, Hafiz, Mila, Tomok, Black, Fizz Fairuz, Julia Ziegler, Ainul Aishah, Marsha, Anding, Dafi, Edlin, Sherry Ibrahim dan Zizan.

Program terbitan Nor Haina Itam itu mempunyai 10 jenis permainan menarik yang telah disusun untuk dimainkan oleh setiap kumpulan. Walaubagaimanapun, hanya lima jenis permainan yang dimainkan dalam setiap episod.

“Permainan ini melibatkan hiburan, nyanyian, filem dan artis lama. Bagi kumpulan yang kalah, kita akan jatuhkan hukuman.

“Antara permainan yang menarik adalah Masihkah Kau Ingat? iaitu setiap kumpulan harus meneka poster filem dan album lama yang kita padamkan tajuknya.

“Permainan Ribut Petir Kebabom adalah segmen yang paling penting iaitu membuatkan para peserta didenda secara berkumpulan. Mereka akan memakai rambut palsu sambil dua kipas besar dipasangkan di kiri kanan mereka untuk menjadikan keadaan haru biru,” beritahunya lagi mengenai beberapa permainan dalam Kata Kau.

Selain itu, Kata Kau turut menghidangkan permainan Ringtone Rentong iaitu meneka tajuk lagu yang dijadikan nada dering polifonik atau music box dimainkan dengan cepat dan perlahan, Bapak Kapak (meneka kumpulan dan tajuk lagu rock Melayu popular), Siapa Pulak Ni..? (meneka lukisan karikatur penyanyi dan pelakon tempatan), Ikut Suka Kau! (meneka judul lagu nyanyian Markonah dan Abang Jam).

Turut serta adalah permainan Video Songsang Baa…(meneka judul lagu, nama artis dan objek tertentu dalam babak video muzik popular yang dimainkan dengan cara putar-balik), CD Rongak (meneka tajuk lagu tempatan yang perkataan dikeluarkan sekerat-sekerat), Studio Berdengung (meneka lagu di mana seorang peserta akan masuk ke studio dan bermain alat muzik atau bersiul) dan Joget Spontan(menari mengikut rentak lagu secara spontan).

Menurut Haina, dia berpuas hati dengan kolaborasi Scha dan Reza sejak program itu dirakamkan lebih 18 episod.

“Kedua-duanya best walaupun baru pertama kali digandingkan. Pada mulanya kita ingat Scha mungkin ditenggelamkan oleh Reza yang sebelum ini berpengalaman mengendalikan program Kelab Pop, namun nampaknya masing-masing menunjukkan prestasi yang seimbang.

“Kadangkala, kedua-duanya seperti sporting belaka,” tuturnya yang pernah menerbitkan program Akademi Fantasia.

Saksikan Kata Kau mulai 19 Jun ini, setiap Sabtu pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104).



Kata Kau, hiburan baru Astro (kosmo)

BAGI mereka yang kurang rapat dengan dunia hiburan, perkataan 'kata kau' mungkin jarang didengari. Namun, pihak Astro yang menyedari populariti perkataan itu di kalangan pengamal media telah mengambil peluang untuk menerbitkan sebuah program berbentuk game show dengan judul Kata Kau.

Menampilkan selebriti-selebriti tempatan, Kata Kau yang dihoskan oleh Reza Mohamad dan Scha Alyahya merangkumi 10 permainan menarik. Namun, pada setiap episod selama setengah jam, hanya lima permainan akan dimainkan.

"Program ini menggunakan format baru yang dikembang dan dicipta oleh pasukan kami sendiri. Memang mencabar untuk memikirkan permainan baru dan kami telah memilih 10 yang terbaik daripada 25 permainan yang difikirkan. Asas kesemua permainan adalah berlandaskan muzik," kata penerbit program, Nor Haina Itam.

Menariknya program 26 episod itu turut melibatkan pelanggan Astro yang akan turun bertanding bersama idola masing-masing. Dibahagikan kepada dua kumpulan dengan tiga orang setiap kumpulan, antara mereka yang terlibat termasuk Pop Shuvit, Meet Uncle Hussain, Mawi, Norman Hakim, Memey, Julia Ziegler, Ainul Aishah dan Marsha Milan Londoh.

"Kami mahu memberi peluang kepada pelanggan kami untuk menyertai program bersama idola mereka. Setiap pelanggan yang dipilih akan menyenaraikan idola masing-masing dan kami akan memilih dari situ," jelas Ketua Unit Hiburan Astro Entertainment, Bob Azrai.

Memaparkan permainan seperti Ringtone Rentong, Bapak Kapak, Siapa Pulak Ni...?, Ikut Suka Kau!, Masihkah Kau Ingat?, Video Songsang Baa..., CD Rongak, Ribut Petir Kebabom, Studio Berdengung dan Joget Spontan, Scha memberitahu dia banyak belajar daripada Reza.

"Nasib baik saya cepat serasi dengan Reza. Pada mulanya saya berdepan dengan masalah kerana tidak pernah mengacarakan program game show.

"Selain daripada menonton Kelab Pop, saya juga banyak belajar daripada Reza. Saya perlu menjadi spontan dan cepat memberikan respons. Itulah cabarannya," ujar Scha.

Bagi Reza yang sudah mengacarakan program Kelab Pop selama tiga musim, dia perlu 'bersaing' dengan Scha kerana jika kumpulan yang diwakili mereka kalah, hos juga akan didenda bersama.

"Kita bersaing bukannya membenci. Ini kerana kami takut akan didenda dengan teruk. Ada denda yang melibatkan aiskrim, sos cili, tepung, bulu ayam dan bedak sejuk. Setakat ini, Scha lebih banyak kalah dan pernah didenda sehingga jatuh," kata Reza.

Kata Kau bakal ditayangkan pada setiap Sabtu bermula 19 Jun ini, pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104).



Kata Kau hargai sokongan pelanggan Astro (utusan malaysia)

ASTRO tidak pernah kekeringan idea dalam menyajikan santapan buat pelanggan mereka. Tidak mahu statik dalam mana-mana penerbitan, Astro mahu terus tampil dengan rancangan hiburan yang mampu memberikan kepuasan maksimum buat penonton.

Setiap rancangan mempunyai pengikut tersendiri dan mampu bertahan kerana penerimaan para penonton.

Mengambil contoh program Kelab Pop misalnya, telah membawa satu pendekatan baru dalam definisi program hiburan bercorak permainan dalam abad ini.

Selama tiga musim bersiaran, Kelab Pop berjaya mencipta kelompok peminat tersendiri dengan gaya serta konsep permainan berteraskan hiburan.

Namun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, Kelab Pop akhirnya terpaksa 'disemadikan' dan mengucapkan selamat tinggal apabila kini program tersebut digantikan dengan sebuah lagi rancangan yang mempunyai konsep yang serupa.

Konsep Kelab Pop sebelum ini menampilkan dua kumpulan yang masing-masing dianggotai oleh artis-artis tempatan.

Tetapi, program baru Kata Kau buat pertama kalinya memberi peluang kepada pelanggan Astro untuk melibatkan diri.

Ketua Unit Hiburan Astro Entertainment, Bob Azrai memberitahu keputusan untuk melibatkan pelanggan sebagai menghargai sokongan mereka selama ini.

"Ia juga salah satu pendekatan baru yang kami lakukan untuk melahirkan program yang berbeza daripada sebelum ini.

"Selain berhibur, ini adalah peluang terbaik untuk mereka beramah mesra dengan artis kesayangan mereka dalam satu program," terangnya tentang program 26 episod itu.

Bob Azrai atau nama sebenarnya, Azrai Kamaruddin ditemui sejurus selepas berakhirnya rakaman program Kata Kau di Studio 2, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dan Penerbit Kata Kau, Nor Haina Itam serta dua hosnya iaitu Reza Mohamad dan Scha Alyahya.

Bob menjelaskan pelanggan Astro hanya perlu menghantar lima calon artis pilihan yang mereka gemari untuk digandingkan dalam program tersebut.

"Daripada senarai itu, kami akan meneliti dan menilai pilihan mereka itu untuk dibawa ke pentas.

"Walau bagaimana pun, bukan semua artis yang dapat ditampilkan kerana kami juga perlu fikirkan tentang jadual serta komitmen artis itu sendiri," ujarnya yang memberitahu nama Datuk Siti Nurhaliza masih lagi menjadi pilihan utama sebahagian daripada pelanggan Astro untuk digandingkan.

Sementara itu, ketika menjawab persoalan tentang penggunaan Kata Kau sebagai judul program, Azlin menjelaskan istilah itu mempunyai konotasi yang cukup menarik.

"Sesuai dengan program yang berkonsepkan hiburan, maka kami dapat melihat kesannya juga dapat terhasil dengan penggunaan tajuk itu sendiri.

"Ditambah pula dengan gandingan mantap Reza dan Scha, kami percaya Kata Kau akan menjadi popular seperti mana Kelab Pop sebelum ini," jelas Azlin.

Nor Haina pula tidak menafikan kesukaran yang harus ditempuhi oleh produksinya khususnya dalam memilih permainan yang betul-betul sesuai untuk Kata Kau.

Apa yang penting, adalah untuk menjadikan Kata Kau sebagai permainan yang cukup menghiburkan hanya jika artis dan pelanggan Astro yang terlibat boleh bersikap sedikit terbuka.

"Sewaktu perbincangan hampir 25 jenis permainan yang dicadangkan dan selepas meneliti kesesuaiannya, akhirnya 10 sahaja yang dipilih dan dipersetujui.

"Bagi saya, setakat ini Kata Kau berjalan dengan lancar dan sempurna kerana pengacaranya memberikan komitmen yang cukup bagus.

"Mereka begitu profesional dan berjaya melunaskan tanggungjawab mereka dengan baik. Malah, mereka juga pantas mencipta keserasian," kata Nor Haina yang sebelum ini pernah menerbitkan rancangan popular seperti Macam-Macam Aznil, Anita Anak Wayang dan Akademi Fantasia.

10 permainan yang telah disusun khusus untuk Kata Kau adalah Ringtone Rentong, Bapak Kapak, Siapa Pulak Ni...?, Ikut Suka Kau!, Masihkah Kau Ingat, Video Songsang Baa..., CD Rongak, Ribut Petir Kebabom, Studio Berdengung dan Joget Spontan.

Antara artis-artis tempatan yang terlibat dalam rakaman Kata Kau termasuklah Saida, Sairah, Meet Uncle Hussain, Liyana Jasmay, Diddy Hirdy, Riz, Lufya, Marsha, Anding, Dafi, Edleen, Sherry Ibrahim dan ramai lagi.

Kata Kau akan ditayangkan bermula 19 Jun ini menerusi saluran Astro Ria (saluran 104, Astro) setiap Sabtu pukul 10 malam.


Share/Bookmark