Filem Inception




Sinopsis Filem Inception (harian metro)

PERTEMBUNGAN antara mimpi dan realiti lalu membentuk satu pasukan konspirasi elit yang akhirnya memakan diri adalah sinopsis ringkas cuba diterjemahkan Christopher Nolan melalui filem berskala besar arahan ketiganya selepas Momento dan The Dark Knight dilihat sebagai satu gaya persembahan yang menggabungkan aksi filem The Matrix di mana manusia dikawal melalui mimpi; Ocean 12 (penubuhan pasukan pencuri profesional) dan 2012 (keadaan dunia akhir zaman imaginasi manusia) yang sarat dengan sentuhan imej hasilan komputer (CGI).


Dengan tarikan barisan pelakon besar yang pernah mendapat pengiktirafan di anugerah Academy dan Oscar, filem ini mengisahkan gabungan mantap sepasukan pencuri yang menggunakan mimpi sebagai medium mengorek maklumat penting daripada mangsa mereka.

Konsep filem ini kompleks, di mana sepasukan pencuri diketuai Dom Cobb (Leonardo Dicaprio) mengembara ke dalam mimpi dan minda untuk mengekstrak rahsia paling dalam daripada minda separuh sedar manusia.


Dalam misi itu, mereka harus membentuk satu pesona realiti yang bangkit dari pemikiran separuh sedar bagi mengorek rahsia daripada tauke perniagaan bernama Fischer (Cillian Murphy) dan merombak kembali wasiat yang ditinggalkan bapanya.

Operasi penuh aksi dan kejadian tembak menembak yang pada mulanya tidak masuk akal akhirnya terjawab sedikit demi sedikit berikutan kewujudan askar dan penembak tidak diundang sebenarnya diibaratkan sebagai antibiotik yang bertanggungjawab melawan virus asing di dalam minda.

Bagaimanapun, operasi mereka hampir gagal berikutan gelodak jiwa dan tekanan rasa bersalah Cobb yang sering dihantui bayangan isterinya, Mal (Marion Cotillard) yang membunuh diri kerana terlalu taksub dengan mimpi hingga gagal menafsir realiti sebenar.

Inception juga dilihat sebagai filem yang membawa fahaman idea ialah satu unsur asing yang cuba ditanam dalam minda dan jika tercetus, ia boleh menjadi satu virus bahaya yang memakan diri jika terus dikembangkan.

Mungkin bunyinya pelik dan melangkaui pemahaman kita secara logik akal kerana bagi kita, idea ialah satu subjek yang murni dan perlu disuburkan secara berhemah.

Pun begitu, Nolan bijak memvisualkan subjek idea jadi virus sebagai satu tujahan di luar pemikiran kita disamping meneroka hubungan mimpi dan kehidupan realiti yang boleh membentuk kepercayaan manusia itu sendiri. Walaupun tidak begitu sempurna, terjemahan idea itu punya daya tarikan dan keberanian tersendiri.

Sesekali Leonardo dilihat gagal melontar emosi dan cetusan rasa kepada penonton. Kualiti persembahannya kali ini ini tidak sehebat Shutter Island yang dibintanginya.

Dialog yang meluncur dari bibirnya terlalu bergantung kepada skrip hingga babak memperdaya Fischer seperti dibuat-buat dan kurang menjadi. Kelebihan yang sepatutnya ada dalam diri Cobb tidak dikembangkan dengan sebaiknya hingga ada ketika dia dilihat tidak layak memimpin misi itu.

Disuap dengan elemen aksi menarik seperti pergaduhan anti-graviti, kejar mengejar kereta, pelanggaran yang berunsur ‘timeless’ membabitkan lokasi menarik di beberapa benua, emosi penonton pasti tersentuh dengan naluri bapa dan suami yang dibebani Cobb.

Di penghujung cerita, berlaku sedikit kekeliruan apabila Nolan membiarkan beberapa babak tergantung hingga menimbulkan tanda tanya apakah kesudahan misi itu. Barangkali sengaja dibiarkan begitu, Inception akan menjana minda pencinta filem sains fiksyen untuk terus berfikir.