Filem Ong Bak 3 - The Final Battle



Sinopsis FILEM: Ong Bak 3: The Final Battle (harian metro)

KARYA terakhir trilogi hebat ini bukan sembarangan apabila penulis, pengarah serta pelakon utamanya, Tony Jaa bersungguh-sungguh meletakkan segala aspirasi serta ilham aksinya pada skala paling besar.


Setiap ruang tidak dipersiakan Tony Jaa dengan menyumbat elemen aksi, pertarungan tanpa henti dan kesungguhan mendalami ilmu pertahan diri.

Menariknya filem arahan pelakon dan pengarah terkenal berusia 34 tahun ini apabila sarat dengan suntikan budaya serta adat istiadat Thailand.


Selari dengan judul The Final Battle, Ong Bak kali ini memaparkan pertarungan antara Tien dan musuhnya, Mystic Crow Demon lakonan Dan Chupong turut diselit eleman mistik dan ilmu hitam.

Kesinambungannya bermula apabila Tien dibelasah teruk oleh musuhnya Crow Demon yang berhasrat menguasai dunia. Tien bukan saja hilang tenaga, malah turut kehilangan bapanya, Lord Sihadecho (Santisuk Promsiri), keluarga dan teman yang bermastautin di perkampungan Garuda Wing Cliff.

Yang tinggal pada Tien hanya denyutan jantung yang semakin lemah serta semangat yang kian pudar akibat diseksa dengan kejam tanpa henti.

Tien dibawa lari ke perkampungan Arokaya. Pelbagai usaha dilakukan penduduk kampung dan seorang lelaki kurang siuman bernama Men (Mum Jokmok) untuk memulihkan semula semangat pahlawan itu. Mereka melakukan meditasi dan gabungan kuasa minda hingga membentuk sebuah patung suci Buddha.

Sementara itu sahabat karib Tien, Pim (Jaja Primrata Dej-Udom) mendapat restu dewa mempersembahkan tarian Khon dan kemunculan Guru Bua (Nirut Sirichanya) berjaya membangkit kembali semangat serta kekuatan Tien melalui ilmu suci yang berasaskan unsur api, air angin dan tanah. Tien akhirnya berjaya menemui teknik dan ilmu pertahan diri berkuasa hebat yang dikenali sebagai Natayuth.

Uniknya kali ini Tien mempertaruhkan satu sisi pertarungan melalui gerak tari Khon yang lengkap dengan gerakan karakter jin, monyet dan protagonis. Kesimpulannya, seni pertarungan yang diketengahkan kali ini lebih baik dan kemas berbanding kebanyakan filem aksi lain.

Seni pertarungan yang turut mendapat sentuhan penyelianya, Panna Rittikrai cukup seimbang dan berbeza daripada dua siri terdahulu. Setiap babak kelihatan logik dan dekat dengan jiwa penonton. Ong Bak 3 boleh dilabelkan sebagai pemangkin karya Asia yang bukan calang-calang kualitinya.