Filem Salt



SINOPSIS FILEM SALT (Harian Metro)

Lakonan Angelina Jolie sebagai Evelyn Salt bagaikan bayangan Lara Croft: Tomb Raider, Wanted dan Mr & Mrs Smith.

Kekal mahir menggunakan senjata api canggih, menonjolkan ekspresi wajah serius dan sesekali bermain dengan sisi kecantikan yang ada padanya, aktres berusia 35 tahun ini tidak langsung menampilkan sesuatu yang luar biasa.


Malah menyedihkan, terpampang beberapa kali babak yang menonjolkan gerak aksinya lemah, kurang latihan dan tidak secekap mana.

Salt karya sentuhan pengarah terkenal Phillip Noyce berani menggandingkan aktor Chiwetel Ejiofor di sisi Angelina selain membariskan pelakon popular lain termasuk Liev Schreiber dan Zoe Lister-Jones.

Paksi sinopsis yang ketat dan seimbang menjadikan plot ceritanya gagal mengundang jangkaan awal daripada penonton. Garapan lakon layarnya juga berjaya menimbulkan tanda tanya penonton akan apa sebenarnya berlaku dalam setiap babak yang disusun. Namun keseluruhan plot terlalu banyak dan mengelirukan.

Salt mengisahkan ejen CIA, Evelyn Salt dituduh menyembunyikan identiti sebenarnya sebagai perisik Russia dan mempunyai agenda membunuh presiden.

Tidak semena-mena, Evelyn menjadi buruan kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan negara dan hubungan antarabangsa antara Amerika Syarikat dan Russia.

Tuduhan itu dilemparkan seorang penjaga yang pernah membesarkan Evelyn ketika kecil iaitu Vassily Orlov (lakonan Daniel Olbrychski). Bukan itu saja, suaminya turut dijadikan tebusan bagi mengumpan Evelyn bertindak melangkaui kemampuan dan melepaskan diri daripada terus dikejar seorang lagi ejen CIA, Peabody (lakonan Chiwetel Ejiofor).

Bermulalah situasi kelam-kabut yang memaksa Evelyn membuktikan dirinya tidak bersalah dan bukan perisik Russia seperti dituduh. Malah Evelyn terpaksa berusaha mencari suaminya bagi menyelamatkannya daripada menjadi mangsa tebusan.

Pelbagai strategi dan alternatif digunakan Evelyn bagi mengelak ditangkap, dan setiap rancangannya untuk memerangkap pihak yang menuduhnya berjaya dengan hebatnya.

Teman sekerjanya pula, Ted Winter (lakonan Liev Schreiber) mempunyai satu misi tersendiri yang tidak diketahui sesiapa, termasuk pasukan CIA, iaitu membunuh Presiden Amerika Syarikat bagi menguasai keputusan melancarkan serangan nuklear ke atas negara pengganas Islam.

Kesimpulannya, Evelyn tidak sedar dirinya dijadikan umpan kepada dua pihak berlainan, namun punya satu jalinan dengannya iaitu sekumpulan keluarga yang membesar bersamanya ketika kecil dan seorang teman yang sentiasa bersama ketika membanteras pelbagai masalah di jabatannya, CIA.

Mana tidaknya, Orlov sanggup membunuh suaminya semata-mata menganggap itu sebagai hukuman kerana menyertai CIA dan meninggalkan kumpulan mereka.

Winter pula menjerat Evelyn hingga misinya berjaya menarik presiden melakukan serangan ke atas kekejaman yang kononnya berpunca daripada Evelyn.

Karya ini tidak membosankan mereka yang asyik mengunyah bertih jagung di dalam panggung kerana babak aksi dan pergelutan diulit hampir di setiap babak.

Peminat Angelina yang sinonim dengan lakonan aksinya juga tidak akan bosan dan kecewa. Namun daripada perspektif lebih luas, Salt adalah filem biasa yang tidak meninggalkan impak kepada peminat kaki wayang.

Usah meninjau aspek lakonan untuk sesebuah naskhah aksi seperti ini kerana pastinya gerak lakonannya tidak sehebat mana berbanding aksi dipaparkan.

Pengakhiran yang disuntik menggambarkan Evelyn berjaya melarikan diri bagi dijadikan bahan untuk kesinambungannya nanti juga tidak sehebat mana dan kurang kemas jika dibandingkan dengan filem siri aksi lain.

Sesuatu yang mungkin mampu memancing perhatian penonton adalah gerak kameranya yang lancar dan berjaya membuai mata untuk terus mengikuti jalan ceritanya.

Sentuhan sinematografi oleh Robert Elswit yang sebelum ini pernah memenangi anugerah Academy untuk filem There Will Be Blood ini memang mengagumkan dan mampu menghidupkan penceritaannya.

Malah suntingannya yang mendapat hasil tangan John Gilroy dan Stuart Baird yang sinonim dengan filem genre aksi termasuk Vantage Point, Whiteout, Lethal Weapon dan Die Hard 2 juga tampak bersih dan sekata untuk ditonton.