Filem Triple Tap



Sinopsis Triple Tap (harian metro)

Kejadian cemas yang mana sebuah van membawa bon tunai dirompak sekumpulan penjahat itu, tersembunyi satu agenda yang melangkaui imaginasi polis.

Triple Tap membariskan dua aktor hebat iaitu Louis Koo dan Daniel Wu yang dipertemukan dengan latar cerita berbeza. Koo yang sebelum ini membintangi beberapa filem hebat termasuk Protégé, Run Papa Run dan Accident, menjayakan watak Ken, pegawai atasan sebuah firma pelaburan yang cekap dalam percaturan senjata.


Ken adalah dalang utama yang mengatur rancangan rompakan van itu bersama empat temannya. Bagaimanapun, rancangannya bertukar menjadi pertumpahan darah selepas seorang anggota polis trafik sempat berkejar ke lokasi kejadian dan mengecam wajahnya.

Buntu dengan situasi getir itu, Ken terpaksa membunuh semua temannya dan polis bagi menutup agendanya. Bagaimanapun, seorang lagi temannya, Pang Tao sempat melarikan diri dan terlepas.

Ken yang terperangkap dengan kehadiran polis berjaya menyembunyikan bon tunai itu dan menyerah diri. Rupa-rupanya Ken yang bijak mengatur rancangan dan bicaranya sekali lagi berjaya mengaburi mata polis kononnya dia hanya kebetulan berada di tempat kejadian dan cuba menyelamatkan seorang polis yang terbunuh namun tidak sempat.

Ken berjaya memanipulasi situasi dan memutarbelitkan fakta hingga terlepas daripada tahanan serta tuduhan di mahkamah. Ken terlepas atas alasan melindungi diri serta anggota polis yang ditembak.

Kes rompakan dan pembunuhan itu diketuai Jerry Chang (Daniel Wu). Sebelum ini Jerry bertemu Ken di padang latihan tembakan dan Jerry tewas kerana Ken mempunyai satu kelebihan, iaitu mampu menembak sasaran dengan tiga peluru sekali gus. Justeru, Jerry mula mengesyaki sesuatu yang aneh pada Ken. Mana mungkin anggota awam yang juga pelabur mata wang seperti Ken mampu mengendalikan senjata dengan hebat.

Triple Tap yang mencatat kos penerbitan hingga AS$5.5 juta ini mendapat sentuhan pengarah aksinya, Chin Ka-lok berjaya menyuntik rasa cemas di kalangan penonton dalam semua babak aksinya. Malah permainan senjata digunakan Ken dan Jerry punya elemen realistik.

Tidak hanya aksi dan babak pergelutan, malah Yee sempat bermain dengan emosi penonton, terutama ketika Ken tumpas dan sedar akan kegagalan rancangannya. Malah filem ini turut menyelitkan aspek percintaan dan persahabatan bagi menguatkan keseluruhan jalan ceritanya.