Dahsyat 13 (Astro Oasis)


Sinopsis Dahsyat 13 (bharian.com)

BERKONSEPKAN bual bicara dengan kupasan mendalam berbentuk penceritaan dan lakonan semula, Dahsyat 13 yang disiarkan di Astro Oasis setiap Isnin memberi maklumat berkaitan hukum, mencari punca serta jalan keluar daripada terperangkap di dalam dosa besar.

Program terbitan Karyawan Bestari Sdn Bhd itu cuba membawa pemahaman penonton menyelami pergolakan situasi semasa dengan menggunakan pendekatan sederhana supaya khalayak tidak gerun atau takut untuk mengikuti siri 13 episod itu.
Penerbit merangkap Pengarahnya, Abdullah Abdul Hamid, berkata Dahsyat 13 bermakna perbuatan kejam merujuk kepada dosa besar yang disenaraikan mengikut turutan di dalam Islam iaitu syirik, sihir, membunuh dan bunuh diri, makan harta anak yatim, murtad, meninggalkan solat wajib, berzina, derhaka, minum arak, mencuri, judi dan mengumpat.

Siri ini bukan mahu menakutkan khalayak tetapi lebih kepada perkongsian ilmu di mana setiap episod akan menampilkan empat segmen meliputi definisi, hukum, punca, balasan serta jalan penyelesaian supaya setiap topik tidak tergantung tanpa resolusi.

Program ini turut menonjolkan pengakuan individu yang pernah terjerumus melakukan perbuatan kejam yang menjurus kepada dosa besar untuk dijadikan pengajaran kepada semua, bukan bertujuan mengaibkan sesiapa, katanya pada majlis pelancaran Dahsyat 13.

Pelancaran program selama setengah jam bagi setiap episod itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang turut disaksikan Pengurus Saluran Oasis Astro, Izelan Basar dan pengacara program berkenaan, Aziz Desa.

Sementara itu, Izelan berkata, kelainan Dahsyat 13 tertumpu kepada olahan terperinci semua aspek perkara yang diperbincangkan sambil memberi nasihat serta mencari jalan keluar daripada membiarkan Umat Islam terjebak kepada dosa besar menerusi kupasan isu secara santai pengacaranya, Aziz Desa.
Beliau berkata, pengalaman Aziz Desa sebagai pengantara rancangan ini memang bertepatan memandangkan pendekatannya lebih kepada insan biasa bukannya seperti ustaz supaya golongan sasaran khususnya anak muda mudah memahami keseluruhan isu.

Pengalaman Aziz Desa menerajui pelbagai program membolehkan beliau berkemampuan mengolah Dahsyat 13 secara santai tetapi dipenuhi pengisian mendalam menerusi kupasan isu bersama tokoh jemputan dalam aneka bidang seterusnya mengingatkan kesan perbuatan yang dicegah agama.

Antara tetamu seperti Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali; tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz; Pensyarah Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Madya Sharifah Hayati Syed Ismail; Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim dan Pakar Motivasi, Tuah Iskandar Al-Haj, katanya.