FILEM Best Of Times


SINOPSIS FILEM: Best Of Times (Harian Metro)

Memaparkan dua cerita cinta antara empat watak utama, mainan gelodak perasaan antara mereka dapat dirasai penonton.

Pasangan pertama mengajak penonton mendalami isi hati Kreng, doktor haiwan yang tidak dapat melupakan cinta pertamanya ketika di sekolah menengah.

Dia jatuh hati dengan Fai, namun kecewa apabila mengetahui gadis itu adalah teman wanita sahabat karibnya, Ohm. Lebih menyakitkan apabila Fai dan Ohm berkahwin.

Jejaka itu bagaimanapun kembali berharap apabila Fai dan Ohm bercerai. Dia dan Fai bertemu apabila wanita itu menjaminnya dan Ohm keluar dari lokap selepas ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Kreng terpaksa menjalani hukuman khidmat masyarakat dengan mengajar sekumpulan pesara bagaimana cara-cara menggunakan Internet.

Situasi itu secara tidak langsung mempertemukan Krend dan Fai dengan Sompit, janda yang jatuh cinta dengan rakan sekelasnya, Jamrus.

Selain berdepan konflik cinta yang sekian lama dipendam, Kreng menjadi orang tengah dalam hubungan cinta Sompit dan Jamrus.

Sompit serba salah apabila berat hati mengikut anaknya berhijrah ke Amerika Syarikat kerana dia ingin hidup bersama Sompit, tetapi keadaan menjadi semakin sulit apabila Sompit disahkan menghidap penyakit Elzheimer.

Filem ini cukup rencahnya, mainan emosi yang diterapkan dapat dirasai penonton baik babak lucu mahupun sedih.

Pasti banyak hati berbunga-bunga melihat cinta antara Sompit dan Jamrus. Pasangan emas ini bagaikan kembali ke zaman remaja, serba-serbi indah dan membahagiakan.

Sompit cuba menyembunyikan perasaannya daripada pengetahuan anaknya dan babak itu barangkali mengingatkan kita kepada zaman remaja di mana ramai segan berkongsi soal hati dan perasaan dengan orang tua.

Usaha keras Jamrus untuk memenangi hati Sompit dan ketulusan yang dizahirkan itu membuatkan naratif filem ini lebih menarik. Yongyoot bijak menyuntik cinta antara dua warga emas dalam karyanya kali ini.

Sememangnya apa saja cerita membabitkan golongan ini dekat di hati penonton, tambah lagi jika membabitkan perasaan kasih dan cinta