Filem Shanghai (2010)


Sinopsis Filem Shanghai (hmetro.com)

John Cusack kali ini melakonkan watak utama, Paul Soames yang juga ejen perisikan Amerika. Meskipun Cusack bukan pelakon hebat dan pernah diiktiraf dalam mana-mana acara penganugerahan, watak Soames dibawa dengan karakter tersendiri dan penuh keyakinan.


Kononnya Soames ke Shanghai bagi membongkar cerita di sebalik pembunuhan teman baiknya yang dikatakan berkaitan propaganda pihak Jepun yang menjahanamkan kota Shanghai dengan agenda tersembunyi mereka.


Temannya yang dibunuh tanpa kesan dan alasan kukuh menyebabkan Soames tidak berfikir panjang bagi mengekori beberapa sasaran yang dikatakan ada kaitan dengan pihak Amerika, terutama ketegangan yang berlaku semakin memuncak, kira-kira empat bulan sebelum serangan Pearl Harbor dilancarkan. Namun dalam pada menyelongkar kisah sebenar di sebalik itu, Soames mendapati ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Malah pelbagai agenda mula diselidik berkaitan kerajaannya.


Mula berasa sangsi dan seakan-akan mengubah fikirannya, Soames meneruskan misinya membongkar kisah sebenar yang berlaku. Soames bertembung pula dengan pakar perisikan Jepun, Tanaka dalam usaha membongkar tragedi yang membunuh temannya dan rahsia di sebalik kerajaannya sendiri.


Kemudian muncul pula watak pasangan suami isteri yang semakin menguatkan lagi misi pemburuan Soames iaitu Anthony Lan-Ting dan Anna Lan-Ting.

Mengejar misinya dan mencuba pelbagai helah bagi mencapai sasarannya, Soames tidak mampu menolak perasaan cinta yang mula berputik di hatinya terhadap Anna meskipun dia tahu risikonya kerana Anthony bukan watak yang dekat dengannya. Skandal dan cinta terlarang itu terus berlaku di belakang suaminya. Kiranya, segala drama dan misteri itu terus menyelubungi sepanjang plot ceritanya dan susunannya diatur sempurna mengikut momentum perjalanan kisahnya.