GREY’S ANATOMY SEASON 6 (NTV7)





SINOPSIS GREY’S ANATOMY SEASON 6 (Bharian)

GREY’S ANATOMY kembali untuk musim keenam setiap Sabtu pada jam 10 malam, bermula 7 Ogos ini di Saluran Ceria Anda, ntv7.

Tirai musim baru drama ini dibuka dengan suasana suram yang semakin terasa di kalangan anggota hospital yang baru dikejutkan dengan kematian rakan mereka, Dr. George O’Malley (T. R. Knight).

Mereka mencari cara terbaik untuk menangani cabaran emosi dan perasaan hiba masing-masing, terutamanya Izzie Stevens (Katherine Heigl), yang paling sukar menerima hakikat ini.
Pemenang anugerah drama bersiri Golden Globe ini kembali dibarisi pelakon Hollywood terkemuka seperti Ellen Pompeo sebagai Meredith Gray, Patrick Dempsey (Derek Shepherd), Sandra Oh (Cristina Yang), Katherine Heigl (Isobel “Izzie” Stevens), Justin Chambers (Alex Karev), Chandra Wilson (Miranda Bailey) dan James Pickens, Jr. (Richard Webber).

Jika anda peminat setia Katherine Heigl, pastikan anda tidak ketinggalan mengikuti setiap episod kerana musim keenam ialah musim terakhir untuk watak lakonannya.

Doktor Seattle Grace nampaknya sering bergelut dalam pelbagai situasi, daripada isu pembedahan rumit, masalah hubungan, hinggalah persoalan yang membabitkan nyawa pesakit. Walaupun nasib tidak selalunya menyebelahi mereka, terdapat hikmah di sebalik setiap dugaan yang mereka lalui.

Setelah merintangi pelbagai dugaan dan cabaran, Meredith Gray dan Derek Shepherd akhirnya berjaya menambat hati masing-masing dengan mengikat tali percintaan mereka melalui ikrar romantis yang hanya ditulis di atas kertas nota kecil.
Dr. Miranda Bailey yang tegas dan jujur pula diuji dengan dugaan yang amat sukar dalam hidupnya. Dia berkemungkinan besar akan kehilangan suaminya kerana lebih memberi tumpuan terhadap kerjaya.

Perhubungan Cristina Yang dengan Owen Hunt (Kevin McKidd) pula masih dilanda masalah disebabkan tekanan jiwa yang dialami Owen akibat peristiwa di Iraq.

Ketua hospital Richard Webber pula sentiasa berusaha memastikan tugasan hospital berjalan lancar sambil menyatukan pekerjanya. Bagaimana rumitnya sebuah pembedahan, serumit itulah Grey’s Anatomy. Bersedialah untuk dipukau dengan episod yang pasti menggamit jiwa anda, dari babak romantis hinggalah babak yang penuh debaran dalam menyelamatkan nyawa pesakit.

Tambahan pula, rancangan ini juga sarat dengan pelbagai pengajaran yang boleh dijadikan pedoman hidup. Penonton pasti tidak sabar untuk menunggu episod seterusnya di setiap penghujung rancangan.

Semestinya, Grey’s Anatomy musim ke-6 ini antara drama yang paling dinanti-nantikan penonton. Rancangan ini akan ke udara setiap Sabtu, jam 10. malam, bermula 7 Ogos di ntv7.