Jejak Rasul 16 - Trilogi Suara Kebenaran (TV3)



Sinopsis Jejak Rasul 16 - Trilogi Suara Kebenaran (Budiey.com)

Tarikh Siaran: 11 Ogos 2010 (1Ramadhan 1431)
Hari siaran : Setiap hari (isnin hingga ahad)
Masa: 6.00 PM
Episod : 30

"MENYINGKAP KISAH SRIKANDI, PERJUANGAN JIHAD DAN KAUM YAHUDI & BANI ISRAEL"

Jejak Rasul 16 - Trilogi Suara Kebenaran ini akan membawakan kisah bersumberkan Al-Quran dan Sunnah disokong dengan fakta dan kajian ilmiah disampaikan oleh pengacara berwibawa, Hajjah Ezzah Aziz Fawzy (srikandi) serta Mohd Sidek Majin (jihad) dan Mohd Fasil Mohd Idris (Yahudi & Bani Israel), bertindak sebagai pengantara mengendalikan 3 segmen berlainan merangkumi 10 episod setiap satu.

Menariknya, segmen Jejak Rasul 16 telah dibahagikan kepada 3 bahagian (trilogi) di mana 10 episod pertama akan mengupas sejarah perjuangan dakwah dan juga usaha-usaha mengembangkan syiar Islam di samping memberi kesedaran tentang kepentingan dan kekuatan kaum Hawa menerusi paparan menarik tokoh-tokoh seperti Siti Khadijah Binti Khuwailid, Siti Fatimah Az-Zahraa’, Fatimah Binti Al Khattab, Siti Aisyah Binti Abu Bakar dan ramai lagi.

Antara kisah menarik ialah pertemuan unik dengan salah seorang ikon tersohor di bumi timur tengah, Permaisuri Loulwah Al Faisal, puteri kepada mendiang Permaisuri Effat Al-Thunayyan yang merupakan pengasas kepada Universiti Effat di Jeddah, institusi pengajian tinggi terkenal yang ditubuhkan khas untuk kaum Hawa yang menyediakan platform ‘bebas’ dan tidak terkongkong sebagai inisiatif untuk menyokong dan menekankan pembangunan minda dan potensi semua pelajar-pelajar Wanita Muslim.

Turut dipaparkan dalam musim ini ialah kisah-kisah penuh pengajaran mengenai erti perjuangan jihad dan rasional agama Islam yang membenarkan peperangan sebagai satu inisiatif demi menegakkan syiar Islam di dalam segmen kedua.

Menerusi 10 episod seterusnya, Penerbit Muhamad Amin Yusoff dengan bantuan Abdullah Sidek Majin sebagai pengantara akan cuba menjelaskan objektif serta konsep jihad dan gambaran situasi yang membenarkan pertempuran sebagai benteng terakhir untuk memelihara kesucian agama dan nyawa umatnya. Ikuti perjalanan mereka melawat ke lokasi sebenar medan pertempuran, temubual khas bersama tokoh sejarah membincangkan tentang peristiwa peperangan yang penting seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perjanjian Hudaibiyah dan banyak lagi dengan harapan dapat menangkis tanggapan negatif ramai yang mengatakan agama Islam tersebar melalui mata pedang.

Segmen terakhir pula mengajak para penonton untuk mendalami kisah asal-usul dan perkembangan kaum Yahudi dan Bani Israel agar kita dapat membezakan gambaran buruk atau impak sesuatu kaum dengan mata hati sendiri. Sebagai penerbit segmen ketiga ini, Mohd Fasil Mohd Idris mengupas konflik di Palestin, pemahaman terhadap erti istilah Israel, Yahudi dan Zionis menerusi 10 episod seterusnya.

Tidak ketinggalan, para penonton juga berpeluang mempelajari semula sejarah kaum Yahudi dan agamanya yang muncul ketika zaman Nabi Musa A.S. di Mesir. Bukan itu sahaja, pastinya ramai di antara kita yang terlupa bahawa Israel sebenarnya adalah gelaran kepada Nabi Yaakob A.S. salah seorang daripada 25 rasul yang wajib diketahui. Keturunan Nabi Yaakub pula digelar sebagai Bani Israel.

Segmen ketiga juga sedikit-sebanyak memberi penerangan mengenai konflik identiti puak Zionis, satu ideologi politik yang tersebar di kalangan penganut Yahudi pada akhir abad ke 19.

Jejak Rasul kali ini mendekati golongan Yahudi yang berfahaman Zionis serta kelompok Yahudi yang menentang ideologi Zionis itu bagi memberi gambaran yang jelas tentang pergolakan di antara dua kumpulan yang sememangnya berbeza aliran dan fahaman. Sepanjang berada di Baitulmaqdis dan Hebron, kru Jejak Rasul 16 sempat merakamkan visual dan pengalaman langsung penderitaan warga Palestin dan nasib buruk yang menimpa selama lebih setengah abad berada di bawah cengkaman Yahudi Zionis.

Bersesuaian dengan lokasi pengambaran yang bersejarah, warna kehidupan masyarakat tempatan juga akan turut dipaparkan merangkumi latar belakang sejarahnya, budaya serta bahasa termasuklah pemandangan indah dan suara rakyat tempatan menerusi lokasi-lokasi yang dilawati sepanjang pengembaraan Jejak Rasul 16 seperti negara Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Syria.

Khusus buat penonton setia TV3, pastikan petang anda terisi sepanjang bulan Ramadan ini dengan menonton Jejak Rasul 16 “Trilogi Suara Kebenaran”, bermula 11 Ogos 2010 bersempena 1 Ramadan 1431, Rabu, jam 6.00 petang.