The Malaysian Emergency (Astro History)


Sinopsis The Malaysian Emergency (bharian.com)

GENERASI hari ini tidak akan mengetahui apakah yang pernah berlaku kepada tanah air kita pada 62 tahun yang lalu sekiranya dokumentari The Malayan Emergency tidak diterbitkan.

Keadaan negara menjadi kucar-kacir pada tahun 1948, penduduk tempatan dibunuh dengan kejam, rumah, pejabat, kebun, ternakan dibakar komunis yang tidak berperikemanusiaan akibat terlalu marahkan pihak British.
Dianggarkan lebih 11,000 kematian ngeri dicatat sehingga membuka sejarah Tanah Melayu yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Akibat daripada itu, British terpaksa mengisytiharkan Darurat kepada Tanah Melayu bagi membolehkan kawalan keselamatan rakyat lebih ketat dapat dilakukan.

Itulah antara paparan menarik dalam fokumentari yang dihasilkan Novista Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang mengambil masa setahun untuk disiapkan.

Dokumentari yang akan disiarkan secara ekslusif menerusi Astro History (saluran 555) pada Ahad ini jam 8 malam memberi peluang kepada rakyat menghayati sendiri keadaan negara kita ketika zaman darurat.

Pengarah The Malaysian Emergency, Harun Ariffin berkata, pihaknya mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan dokumentari ini memandangkan kesukaran mendapatkan responden.

Memang ramai yang tertarik untuk mengetahui kisah sebenar semasa darurat Tanah Melayu lalu, namun bukan senang menghasilkannya.

Disebabkan agak terlalu lama berlaku, sukar untuk mendapatkan responden atau orang yang pernah berada semasa peristiwa itu berlaku, kebanyakannya sudah meninggal, namun kami bertuah kerana ada lagi yang masih hidup untuk menceritakan peristiwa itu.

Ini adalah kisah benar, dari kaca mata mereka sendiri, selain penduduk tempatan, kami juga menemubual anggota polis dan bekas komunis juga dari kaca mata mereka kenapa peristiwa ini boleh berlaku, katanya yang membabitkan 50 responden berjaya ditemubual.

Siaran dokumentari ini akan diulang siar di saluran Astro History pada 16 Ogos (10.30 malam), 21 Ogos (7 malam), 23 Ogos (10 malam) dan 27 Ogos (10 malam).