Syahadah Musim 6 (RTM)




Sinopsis Syahadah Musim 6 (Budiey.com)

Dokumentari Syahadah Musim 6 ini diterbitkan oleh Unit Majalah Dan Dokumentasi RTM bakal disiarkan sepanjang bulan Ramadan akan bermula pada 11 Ogos 2010 (Rabu) bersamaan 1 Ramadan jam 6.30 petang di saluran TV1.

Manakala siaran ulangan pula pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula jam 5.30 pagi hingga 5.50 pagi di saluran TV1. Tidak ketinggalan juga dokumentari Syahadah dalam Bahasa Inggeris yang akan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis mulai 11 Ogos jam 10.00 hingga 10.30 pagi di saluran TV2.

Format Dokumentari Kembara (Travellodge Documentary), diterbitkan secara bersiri sebanyak 30 episod dengan jangkamasa 30 minit setiap episod. Tarikh siaran bermula 1 Ramadhan 1431 hijrah.

Objektifnya bagi menyumbang usaha memfilemkan sejarah penting negara untuk tatapan 27 juta rakyat Malaysia. Dokumentari ini akan meneliti susur galur kedatangan Islam ke Malaysia dan perkembangan Islam terkini. Selain itu bagi menyemai semangat cintakan khazanah warisan negara dan memupuk semangat jatidiri di kalangan rakyat Malaysia.

Lokasi yang telah dipilih adalah Malaysia (Terengganu, Kedah dan Melaka), Indonesia (Sumatera dan Kepulauan Jawa), China (Wilayah Yunan), India (Kerala [malabar] dan Gujerat) dan Kemboja.

Pengisian termasuklah pengenalan dan sejarah lokasi, warisan sejarah Islam yang berkaitan, perkara melibatkan Islam masa kini sebagai refleksi kepada kemunculan dan penyebaran agama Islam di kawasan berkenaan (sosial, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya).


Pada episod pertama akan memaparkan tentang penemuan artifak sejarah yang membuktikan kedatangan Islam yang telah tersebar di Nusantara iaitu Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan telah berusia lebih 700 tahun.

Penemuan tersebut bakal menyusuri khazanah warisan Batu Bersurat yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa melalui Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di bawah kategori ”Daftar Memori Antarabangsa”. Sebagai penghargaan kepada pengiktirafan yang membanggakan ini, Syahadah musim ke enam akan membawakan 30 episod meneliti rentetan sejarah kedatangan Islam di Alam Melayu dan kesannya kepada pembangunan moden.

Setiap episod memaparkan tajuk yang berbeza yang diterajui oleh tiga orang penerbit yang berkebolehan iaitu Encik Ibrahim Ismail , Encik Rulhaizal Abd Rahman dan Encik Zuramin Ismail.