Tekken


SINOPSIS TEKKEN (Bharian)

DARIPADA permainan video Namco yang begitu popular, Tekken kini hadir sebagai filem aksi yang tentu sekali menghiburkan peminat setianya. Dipenuhi babak pertarungan sebagaimana yang dapat disaksikan dalam permainan videonya, Tekken, memberikan peluang kepada peminat menikmati aksi hebat terbabit dalam bentuk lebih hidup dan besar.

Tekken bercerita mengenai dunia yang kini dikuasai tamadun baru, yang bukan lagi dipimpin kerajaan, sebaliknya enam syarikat yang cukup berkuasa. Tekken pula ialah syarikat yang paling hebat di antara kesemuanya.

Seorang pemuda, Jin Kazama (Jon Foo), tinggal di sebuah kawasan miskin di luar Kota Tekken, dikenali sebagai Anvil. Dia jejaka yang berkebolehan besar dalam seni bela diri dan bijak mencari peluang untuk terus memperoleh rezeki di kawasan mundur terbabit.

Satu malam, selepas berlaku pertengkaran kecil bersama ibunya (Tamlyn Tomita), Jin keluar dari rumah. Namun, sebaik saja dia pulang, Jin mendapati ibunya dibunuh sekumpulan unit robot pengawal Tekken, dikenali sebagai Jack. Menyedari tindakan itu dilakukan atas suruhan ketua Tekken, Heihachi Mishima (Cary-Hiroyuki Tagawa), Jin berazam untuk membalas dendam.

Jin berjaya memasuki kubu Tekken dengan memenangi sebuah tempat dalam perlawanan cukup terkenal dan paling penting dalam kalender tahun itu, Iron Fist. Setiap peserta mewakili syarikat gergasi yang memerintah dunia, dan pemenang pertandingan berkenaan membolehkan syarikat penaja terbabit mendabik dada sebagai paling berkuasa.

Pada ketika peserta bersiap sedia untuk bertarung antara satu sama lain, mereka mula sedar, mereka sebenarnya hanyalah cagaran kepada permainan yang nyata jauh lebih besar.

Anak lelaki Mishima, Kazuya (Ian Anthony Dale), tidak sabar untuk mengambil alih Tekken daripada bapanya. Kazuya juga mengubah corak pertandingan dengan tujuan membunuh Jin, yang sebenarnya anak luar nikahnya. Kehadiran Jin memberikan ancaman untuknya mewarisi syarikat cukup berkuasa itu.