Ewah Ewah Raya (TV3)




Sinopsis Ewah Ewah Raya (Budiey.com)

Bersempena Sinari Lebaran, Ewah Ewah Raya bakal disiarkan pada 13 September 2010 (Hari Raya Keempat) pada jam 11.02 pagi di Slot Senda Pagi. Bersama hos, Raja Azura dan Nabil, Ewah Ewah Raya kali ini menampilkan artis-artis ternama seperti Fouziah Gous, Iqram Dinzly, Erry Putra, Erra Fazira, Fizo Omar dan Danny X-Factor.

Artis jemputan ini telah dipisahkan kepada dua kumpulan di mana Fouziah Gous, Iqram Dinzly dan Erry Putra mewakili Rumah Merah manakala Erra Fazira, Fizo Omar dan Danny X-Factor pula mewakili Rumah Biru.

Sebelum bergelar juara, mereka harus menempuhi tiga cabaran iaitu ‘Bola Sumo’, ‘Titi Ketupat’ dan ‘Tiup Bola’. Ketiga-tiga cabaran ini bakal menguji kemampuan, kecergasan dan kerjasama di dalam kumpulan, namun tidak dapat lari dari membuat penonton gelak ketawa melihat gelagat lucu artis pujaan mereka ini.

Permainan pertama ialah Bola Sumo, kedua-dua kumpulan dikehendaki merebut bola dan memasukkan bola tersebut ke dalam jaring, sama seperti sukan bola jaring namun memakai kostum sumo. Aksi rempuh-merempuh diantara mereka di dalam pusingan ini menjadi babak paling lucu. Setelah 10 minit, Rumah Merah berjaya memenangi cabaran ini dengan mengumpul 50 markah sementara Rumah Biru, 40 markah.

Seterusnya ialah permainan Titi Ketupat. Di cabaran kedua ini, Rumah Merah dan Rumah Biru perlu mengambil sebanyak mungkin ketupat yang digantung ketika meniti jambatan. Nampak seperti mudah tetapi untuk meniti jambatan dan terpaksa menghadapi halangan dibaling bola oleh pihak lawan adalah tugas yang sukar.

Apatah lagi bola yang digunakan bukanlah bola biasa kerana ia adalah bola betul yang biasa kita lihat di dalam sukan bola sepak. Permainan ini turut dimenangi oleh Rumah Merah namun dengan perbezaan lima markah sahaja.

Cabaran ketiga dan terakhir ialah Tiup Bola. Permainan ala foosball ini merupakan cabaran paling sukar kerana peserta hanya boleh menggunakan mulut untuk meniup bola. Menariknya, permainan ini turut menjemput penonton untuk membantu kedua-dua rumah.

Disebalik penguasaan Rumah Merah sepanjang dua permainan berturut-turut, ia tidak menghalang Rumah Biru untuk memenangi permainan ketiga. Rumah Biru berjaya mengumpul 30 markah manakala Rumah Merah, 10 markah. Dengan memenangi pusingan ini, Rumah Biru berjaya mengutip markah keseluruhan tertinggi sebanyak 90 markah seterusnya menjadi juara, meninggalkan Rumah Merah lima markah dibelakang. Selalunya kumpulan yang tewas menerima hukuman tetapi kali ini ia terbalik, Rumah Biru yang diwakili oleh Erra Fazira, Fizo Omar dan Danny X-Factor telah disimbah dengan air sejuk!

Ewah Ewah Raya diterajui oleh Khalijah Hj. Mohamed selaku Penerbit Eksekutif dan Leo Rauf Makmur selaku Penerbit dan Pengarah dari Primeworks Studios. Saksikan Fouziah Gous, Iqram Dinzly, Erry Putra, Erra Fazira, Fizo Omar dan Danny X-Factor pada Hari Raya Hari Keempat (13 September), jam 11.02 pagi, hanya di TV3!