Eat, Pray, Love

Eat, Pray, Love

Filem Eat, Pray, Love
ARAHAN: Ryan Murphy
PELAKON: Julia Roberts, Billy Crudup, James Franco dan Javier Bardem
GENRE: Drama Romantik
TAYANGAN: 30 September
ULASAN: Murshid Eunos (Harian Metro)


Sinopsis dan Ulasan Filem Eat, Pray, Love
NASKHAH hebat ini bagai sebuah biografi seorang wanita yang mencari nilai kebebasan diri, kepuasan dalaman dan erti cinta sebenar. Melihat pada judul dan jenamanya yang diterjemah daripada sebuah novel terlaris di Amerika selain mengangkat aktres terkenal, Julia Roberts selaku teraju utamanya, ramai yang menganggap Eat, Pray, Love sebuah filem yang mesti ditonton.

Namun sayang, ia sebaliknya. Eat, Pray, Love menceritakan perjalanan Elizabeth ‘Liz’ Gilbert semata-mata dan garapan jalan ceritanya longgar serta tiada apa yang menakjubkan. Ia seolah-olah digarap hanya di permukaan.

Eat, Pray, Love, simbolik kepada perasaan Liz yang mencari ketenangan dan kepuasan jiwanya. Meskipun mempunyai seorang suami dan kemudian memiliki seorang kekasih muda yang kacak selepas bercerai, Liz masih gagal menemui satu titik kepuasan dalam dirinya.

Liz tekad merantau untuk melengkapkan rasa kosong itu. Dia sentiasa merasakan dirinya gagal menjadi wanita yang sempurna sedangkan dalam perspektif lain, dia berdepan krisis dalam jiwanya.
Eat, Pray, Love
Bukan gagal dalam hubungan, sebaliknya Liz terlalu rumit hingga memandang kegagalan dirinya memenuhi kehendak pasangan sebagai masalah besar yang memerlukan penyelesaian secara dalaman.

Setahun melarikan diri daripada rutin kerjanya, Liz mengembara mencari erti dirinya sendiri. Mulanya dia ke Itali, merasai semua makanan lazat yang mungkin mampu memberi ketenangan dan rasa puas dalam jiwanya.

Liz bertemu sekumpulan teman baru yang penuh dengan kasih sayang dan erti sebuah kebahagiaan. Pengalaman yang dikumpul, Liz simpul menjadi kekuatan buat dirinya.

Eat, Pray, Love
Dia kemudian ke India untuk mengenal erti tenang dan aman dalam jiwa melalui meditasi dan rasa percaya pada tuhan. Puas dia bertapa di institusi agama Hindu dan mengenali pula seorang lelaki yang akhirnya membuka dimensi baru dalam dirinya.

Dia mula melihat percaya dan yakin terhadap tuhan setidak-tidaknya memberikan seseorang itu rasa tenang selain sentiasa terisi dengan adanya satu agama yang disembah.

Akhirnya, Liz merantau ke Bali, Indonesia untuk mengenal semula rasa cinta daripada seorang lelaki tua yang pernah ditemuinya sebelum ini, Ketut.

Kononnya dia cuba membuka seluas mungkin hatinya untuk menerima rasa cinta dan datang pula seorang lelaki yang berminat dengannya. Selepas rasa serasi dan sayang itu wujud, Liz cuba menafikan perasaan itu dan lari daripada mengakuinya.

Bagaimanapun, selepas lebih dua jam duduk menghayati plotnya, Eat, Pray, Love agak meleret dan membosankan pada pertengahan.
Eat, Pray, Love
Keseimbangan dalam filem ini gagal disempurnakan dengan baik hingga ada kalanya penonton menggaru kepala kerana ada beberapa babak yang panjang dan tiada inti penting.

Mungkin bagi yang meminati Julia, mereka tidak akan pulang hampa namun jika ada yang terlalu meletak harapan tinggi terhadap filem ini, mungkin kekecewaan mengiringi sebaik keluar dari panggung.