Filem Epik Dendam Tamingsari


Cabaran hasilkan filem epik fantasi Empayar : Dendam Tamingsari

Oleh Akmal Abdullah

- Berita Harian -




user posted image
Gambaran grafik untuk babak pelabuhan Melaka.

Filem berlatarkan zaman kerajaan Melayu Melaka dan Majapahit membabitkan kos RM5 juta dan bakal menggunakan 70 peratus visual CGI


HASRAT penerbit filem ini ialah untuk melihat sebuah filem dalam skala besar, grandeur dan agung yang mampu menggambarkan zaman kegemilangan kerajaan kesultanan Melayu Melaka. Kesal dengan filem klasik dan epik tempatan yang sering gagal menunjukkan suasana gemilang kerajaan silam, maka atas inisiatif beliau, sebuah filem yang memfokus kepada kehebatan kerajaan dan wira zaman dulu digambarkannya menerusi filem epik fantasi Empayar: Dendam Tamingsari.

Mengambil semangat filem Hollywood seperti Lord of the Rings yang hebat menggunakan banyak imej janaan komputer (CGI) kerana mampu menzahirkan zaman silam yang gah dan kelihatan realistik, projek filem ini memulakan rekaan produksi bagi menggambarkan milieu zaman itu seperti istana Sultan Melaka, bahtera raja, pelabuhan yang sibuk dengan kapal dagangan, keraton Majapahit dan beberapa struktur binaan yang relevan pada zaman itu.

Produser filem itu yang juga Pengarah Urusan Cinequip Productions, Kamaruddin Abu mengakui ia satu tugas berat dan mencabar bagi menghasilkan Empayar: Dendam Tamingsari dalam skala besar membabitkan banyak penggunaan CGI kerana harus dibuat teliti bagi menggambarkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka kira-kira 500 tahun yang lalu selain zaman keagungan kerajaan Majapahit.


user posted image

Dari kiri; Alan, Kamaruddin, Raja Aznil dan Mohd Mazren berbincang mengenai produksi.

“Kami di Cinequp Productions mahu mengangkat satu tahap baru filem epik tempatan dengan imej visual yang lebih kemas dan meyakinkan sesuai dengan cerita kehebatan zaman kerajaan Melaka dulu. Jika dulu kita sebut empayar Melaka tentu ia hebat dan gemilang, jadi kita mahu tengok semula dengan gambaran fantasi berlatarkan sejarah dan legenda. Kita mahu naikkan imej teknologi dan paparan zaman Melaka dalam filem Malaysia. Versi ini boleh membuatkan generasi muda akan bangga dengan sejarah asal usul tanah Melayu dan kini menjadi Malaysia.

“Saya akui watak Hang Tuah juga sudah banyak muncul dalam filem lain tetapi Hang Tuah dalam versi Empayar: Dendam Tamingsari dilihat dari sudut pandangan lain, namun kami tidak ketepikan fakta yang terdapat dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Sebagai filem cereka, kami cuba beri fantasi yang jauh lebih menarik, kami warnakan kisah kegemilangan dulu dengan melihat semula apa kehebatan keris Tamingsari dan kenapa ia menjadi misteri dan terus disebut sehingga zaman kini.

“Empayar: Dendam Tamingsari melihat kisah zaman dulu dari segi politik dan perkahwinan, kekuasaan dan pengaruh serta kehebatan perwira kita zaman silam. Watak yang diwujudkan dalam filem ini ialah Sultan Mansor syah, Raja Majapahit, Tamingsari (pahlawan Majapahit), Hang Tuah, Tun Teja, Megat Panji Alam, Ketua Orang Bunian, Tun Perak, Raden galoh, Megat Panji Alam, Megat Kembar Ali, Sang Kelembai, Jin Air dan Jin Api. Ia juga ada elemen cinta iaitu mengenai konflik seorang wanita dan tiga lelaki iaitu tunang, kekasih dan suaminya.

“Kami merancang untuk jangka panjang untuk membuat tiga sekuel filem ini. Untuk sekuel pertama, ia kini dalam peribngkat akhir praproduksi dan penggambaran dijadualkan pada pertengahan tahun ini. Mengenai pelakon, ada beberapa watak sudah diputuskan tetapi untuk beberapa watak utama seperti hang Tuah dan Tun Teja, kami masih membuat proses casting. Saya juga tidka boleh beritahu siapa pengarah filem ini. Kami akan umumkan pada sidang media nanti,” kata Kamaruddin.

Mengenai bajet projek filem berkenaan, beliau berkata, sudah tentu untuk menghasilkan banyak visual CGI dan penyelidikan dan penelitian untuk setiap babak, kosnya menjadi agak mahal dan memerlukan pembiayaan daripada kerajaan kerana projek filem ini bukan untuk keuntungan semata-mata tetapi atas tanggungjawab kami pada bangsa dan negara.

“Sebenarnya projek filem ini sudah empat tahun dirancang tetapi kita bergerak perlahan-lahan kerana banyak buat kajian dan mencipta gambaran visual untuk CGI. Kos filem ini dijangka menelan belanja RM5 juta. Kami memperoleh dana menerusi duit syarikat, pinjaman dari Bank Pembangunan dan bantuan geran daripada Kementerian Sains teknologi dan Inovasi. Namun, jumlahnya belum cukup dan kami berharap ada pihak lain lagi yang boleh bekerjasama kami untuk menjadikan filem ini berjaya dihasilkan. Kos ini bukan sekadar praproduksi dan penggambaran tetapi persiapan untuk CGI dan proses selepas penggambaran dan promosi. Setakat ini perbelanjaan yang digunakan sudah lebih RM600,000.

user posted image

Imej visual CGI untuk babak kediaman Raja Majapahit.



“Empayar: Dendam Tamingsari adalah manisfestasi sebuah filem Malaysia yang bertanggungjawab untuk mengembalikan semula kenangan fanatasi mengenai kehebatan zaman kerajaan Melayu Melaka di Tanah Melayu,” kata Kamaruddin ketika ditemui di pejabatnya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Turut sama, Penerbit Eksekutif filem itu, Mohd Mazren Datuk Mohd Mazlan.

Pereka Produksi filem itu, Raja Aznil Raja Hisham pula berkata, Empayar: Dendam Tamingsari menggabungkan elemen sejarah, legenda dan fantasi, maka rekaan dan corak untuk visual filem itu harus memperlihatkan gambaran kehebatan zaman dulu dan bagaimana sesuatu peristiwa itu berlaku secara logik, ada daulat dan kuasa luar biasa.

“Di mana kegemilangan dulu? Sekarang tidak ada lagi kesan sejarah yang menggambarkan kehebatan zaman Melaka dulu kerana kajian mendapati apabila Portugis menakluk Melaka pada 1511, mereka terus merobohkan kota dan pusat binaan Melayu. Ke mana pergi rekaan dan arkitektur kita. Dulu, ada binaan batu untuk masjid, istana dan dinding istana Sultan Melaka tetapi Portugis runtuhkan dan gunakan batu itu untuk bina kota mereka. Kajian dapati istana Melaka dulu terletak di Bukit St Paul sekarang tetapi apa yang ada sekarang binaan lain.

“Apabila kita sebut empayar kerajaan Melaka dulu, tentu ia hebat dan gemilang dan kita kena berfantasi semula zaman kegemilangan itu. Kami banyak buat penyelidikan dan hasilnya nanti akan diserapkan dalam imej CGI filem ini. Sebagai orang filem, kami ada lesen kreatif untuk memberi gambar yang boleh membuatkan masyarakat berbangga dan kagum dengan keagungan kerajaan melayu Melaka dulu.

“Begitu juga pakaian. Kalau dalam filem Melayu klasik atau filem purba, selalunya imej pakaian ialah imej kain lusuh, selain cuma berbaju Melayu, bertengkolok dan bersampin tetapi kajian dapati orang dulu juga hebat dari segi fesyen dan jenis fabrik bermutu. Takkan orang dulu apabila pergi perang masih pakai baju Melayu, sampin, tengkolok dan capal? Mereka juga ada pakaian seragam tentera. Rotan dan kulit juga sudah dijadikan pakaian, malah kayu dan besi juga sudah digunakan untuk pakaian seram tentera Melaka ketika berperang, termasuk senjata.

“Kami cuma beri gambaran yang memperlihatkan kehebatan zaman kerajaan Melayu Melaka kerana ia terkenal di seluruh dunia dan ada hubungan dengan China, Parsi dan India. Ini filem epik fantasi dan aksi romance, tentunya kita berikan imej sesuai dan boleh dibanggakan. Kita mahu generasi muda kita menghargai wira silam kita dulu, bukan saja Hang tuah tetapi kenal secara dekat siapa Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu.

“Kami cuba bermain dengan fantasi dan merujuk kepada fakta yang ada... kalau kami mungkin tersasar dari segi gambaran ini, beritahu kami apa lagi yang sesuai dan tepat seperti pakaian atau struktur rumah orang dulu. Kita mahu naikkan imej filem Malaysia dan imej kerajaan Melayu zaman silam. Untuk tata busana, produksi filem ini akan hasilkan pakaian sesuai mengikut watak dan insiden babak, selain kita akan ambil pakaian dari wardrobe tetapi akan diubah suai.





“Dari segi imej rambut, orang dulu sebenarnya bukan sekadar berambut panjang tetapi ada fesyen ala punk, tak terurus dan ala pasta. Jenis senjata pula, bukan saja lembing, tombak dan keris tetapi gasing tajam, kerambit tiga mata, panah api dan pedang pelbagai saiz. Tentera Melaka dulu juga sebenarnya lengkap dengan pakaian seragam dan senjata. CGI akan banyak membantu untuk memberi gambaran imej watak dalam filem ini kelak.

Bagi Pengarah CGI untuk filem berkenaan, Alan Wong, apa yang mencabar bagi dirinya ialah untuk menyediakan CGI dari segi kekuatan imaginasi supaya Empayar: Dendam Tamingsari bakal kelihatan realistik dan gah pada visualnya.

“Ia mencabar kerana ini benda baru bagi menggambarkan kehebatan kerajaan Melayu zaman dulu, kita tidak mahu buat benda atau imej yang sama. Kita kena siapkan gambaran set, subset dan props dalam CGI sebelum penggambaran sebenar bermula supaya hasilnya berkesan. Keseluruhannya untuk projek filem ini, sebanyak 70 peratus ialah CGI iaitu kira-kira 40 babak. Tempoh filem ini nanti ialah 110 minit.

“Saya juga kena banyak berbincang dengan penerbit dan pereka produksi untuk mendapatkan corak rekaan sebenar yang mahu divisualkan menerusi CGI dua dimensi (2D) dan tiga dimensi (3D) mengikut babak. Kini kami sedang giat memproses imej bahtera, istana, keraton Majapahit dan beberapa imej jin, Sang Kelembai dan persekitaran alam bunian. Saya ada dua pasukan yang melakukan kerja CGI membabitkan 15 petugas,” kata Alan yang juga Pengarah Urusan DNA Studios.