Hachiko A Dog’s Story

Filem Hachiko A Dog’s Story
Genre: Drama
Pengarah: Lasse Hallstrom
Pelakon: Richard Gere, Joan Allen, Sarah Roemer, Cary-Hiroyuki Tagawa, Erick Avari, Robbie Collier-Sublett, Davenia McFadden dan Jason Alexander
Tayangan: Mulai 21 Oktober
Sumber: Berita Harian

Hachiko A Dogs Story
Sinopsis Hachiko A Dog’s Story
PADA 1924, seekor anjing Akita diberi nama Hachiko dibawa ke Tokyo oleh tuannya, seorang profesor di Universiti Tokyo, Hidesaburo Ueno. Sepanjang hayat tuannya, Hachiko melihat Ueno bertolak ke pejabat dari pintu depan rumah dan menunggunya pulang berdekatan Stesen Shibuya.

Pasangan itu meneruskan rutin terbabit sehinggalah Mei 1925, apabila pada satu petang, profesor berkenaan tidak pulang-pulang. Lelaki itu mengalami serangan angin ahmar di universiti, lalu meninggal dunia. Namun, anjing yang setia itu terus menunggu kepulangannya selama hampir 10 tahun lamanya.

Kisah benar berkenaan cukup dikenali di negara mata hari terbit. Selama tujuh dekad, Hachiko menjadi wira kebanggaan rakyat Jepun dan kisah kesetiaan itu sudah pun difilemkan di negara kelahiran asalnya pada 1987. Ia turut dirakam dalam bentuk tulisan sebagai buku kanak-kanak.

Kini, cerita mengenai kesetiaan dan kasih sayang tanpa batasan itu diperkenalkan pula kepada penggemar filem Amerika, di bawah arahan Lasse Hallstrom (Casanova, The Hoax).
Dan, di bawah telunjuk sutradara dari Sweden itu, filem Hachiko mengekalkan elemen kesetiaan seekor haiwan terhadap tuannya dalam nada yang cukup mesra, dengan penyudah yang begitu menyentuh jiwa. Dengan perubahan pada latar tempat, watak sampingan dan sebagainya, keutuhan cerita yang bertunjangkan kasih sayang antara dua makhluk berbeza tetap dijaga.
Hachiko A Dogs Story
Tiada drama mahupun konflik menggoncangkan raga diselitkan dalam penceritaan, selain babak kematian Profesor Parker Wilson (Richard Gere) di tempat kerja. Namun begitu, kisah si anjing dan tuannya ini tetap cukup seronok diikuti. Ia sebuah kisah yang membuatkan penonton berasa riang pada sebahagian besar tayangan, sebelum air mata mula bertakung di kelopak pada babak-babak di penghujungnya.

Kisahnya mudah saja. Parker menemui seekor anak anjing di stesen kereta api, lokasi yang dikunjunginya setiap hari untuk ke tempat kerja. Kerana tidak menemui tuan punya, si anjing kekal di rumah Parker walaupun pada awalnya si isteri kurang gembira dengan kehadiran haiwan itu.
Hachiko A Dogs Story
Hachiko membawa perubahan dalam kehidupan profesor terbabit, yang kini lebih ceria. Suatu hari, anjing itu muncul di stesen kereta api menunggu kepulangannya, dan rutin itu berterusan sehingga hampir sedekad lama.

Selain Parker dan isterinya, Cate (Joan Allen), beberapa watak lain yang turut disaksikan Hachiko sepanjang hayatnya termasuklah anak perempuan mereka, Andy (Sarah Roemer); penjaga stesen, Carl (Jason Alexander); penjual hot dog, Jasjeet (Erick Avari); pemilik kedai buku, Mary Anne (Davenia McFadden); dan rakan baik profesor, Ken (Cary-Hiroyuki Tagawa).
Hachiko A Dogs Story
Mereka jugalah menjadi saksi kepada kemesraan hubungan antara dua makhluk ini, serta kesetiaan Hachiko yang menunggu kepulangan Parker pada setiap hari di luar stesen, sebelum ia sendiri menghembuskan nafas terakhir kira-kira sedekad kemudian.

Di samping lakonan memberangsangkan kesemua pelakonnya, bintang sebenar filem ini ialah tiga ekor anjing Akita yang dikumpul dari serata Amerika serta dilatih selama enam bulan untuk memainkan watak Hachiko ketika dewasa, pada beberapa peringkat berbeza. Kebijaksanaan haiwan terbabit memberikan aksi yang dimahukan pengarah, membolehkan penonton berasa sama kemesraan, kasih-sayang, kesedihan serta kesetiaan yang lahir daripada diri mereka.
Hachiko A Dogs Story
Hachiko bukanlah anjing yang punya kuasa luar biasa menyelamatkan manusia, sebagaimana pernah dilihat dalam filem lain. Namun, senjata utamanya hanyalah kejujuran, kesetiaan serta kasih-sayang tanpa batasan yang dihulurkan, yang dizahirkan dengan cukup meyakinkan oleh ‘pelakonnya’. Atas keupayaan itu, tiga haiwan berkenaan dengan mudah memikat hati anda.

Hachiko akan kekal lama dalam ingatan, sebagai filem haiwan yang meruntun jiwa.