Takers

Filem: Takers
Genre: Aksi
Pengarah: John Luessenhop
Pelakon: Matt Dillon, Paul Walker, Idris Elba, Jay Hernandez, Michael Ealy, T.I., Chris Brown, Hayden Christensen, Marianne Jean-Baptiste, Zoe Saldana, Johnathon Schaech
Tayangan: Mulai 28 Oktober
Sumber : Berita Harian
Takers
Sinopsis Takers
BAGI penggemar filem aksi berkisar dunia penjenayah elit, Takers yang membariskan ramai bintang popular pastinya antara pilihan apabila dipenuhi babak letupan bom, adegan berbalas tembakan dan menonjolkan kelicikan dalam menyusun strategi melepaskan diri daripada polis seperti yang disogokkan dalam filem lain.

Paling menarik perhatian tentu saja gabungan beberapa nama terkenal seperti Paul Walker sebagai John yang mengepalai sekumpulan perompak elit bersama empat lagi anggota, Hayden Christensen selaku AJ, Michael Ealy (Jake), Chris Brown (Jesse) dan Idris Elba (Gordon).

Mereka digambarkan sentiasa memakai sut berjenama, mengambil minuman keras paling mahal, menggunakan kereta atau motosikal berkuasa besar malah lebih meyakinkan apabila di luar lingkungan tugas - merompak - perbualan menjurus kepada pasaran bursa.
Babak pembukaan menunjukkan rompakan besar dilakukan di sebuah bank yang sebelum itu ditonjolkan sedikit kaedah penyamaran kumpulan terbabit dan seperti biasa, daripada perbualan usaha melarikan jutaan dolar itu umpama kerja mudah hanya menggunakan helah serta kepakaran. Agak klise bukan?
Takers
Namun selepas tamat, jelas sekali ia bukan idea segar. Barangkali pengarahnya John Luessenhop, serta penulis lakon layar, Peter Allen, Gabriel Casseus, John Luessenhop dan Avery Duff tanpa sengaja mencedok sedikit ilham daripada beberapa terdahulu iaitu Ocean Thirteen atau The Bank Job.

Baik dari sudut pengolahan plot mahu pun paparan babak mendebarkan, kebanyakannya sudah boleh diagak penonton seperti adegan perlahan babak tembakan, kepakaran setiap ahli yang pastinya tidak mengenepikan pakar bom dan tidak ketinggalan elemen kekeluargaan.

Sememangnya di dalam filem plot dan sub plot memainkan peranan utama untuk menggambarkan perjalanan sesebuah kisah, namun jika di dalam filem aksi memaparkan setiap individu mempunyai masalah peribadi, tentu saja ada adegan tampak melankolik.

Sebagai contoh, dua watak polis yang cuba memerangkap kumpulan terbabit, Matt Dillon sebagai Jack Welles dan rakan setugasnya, Jay Hernandez (Eddie). Apabila Jack terlalu sibuk dengan kerjaya hingga keluarga menjauhinya, manakala Eddie pula mencuri wang haram disebabkan keadaan anaknya yang sakit.

Gordon yang mempunyai kakak penagih juga tidak terlepas daripada tekanan malah kisah ini juga semakin berkembang berikutan dendam peribadi seorang anggota kumpulan berkenaan yang baru keluar dari penjara mengarahkan mereka menyelesaikan satu tugasan.

Ghost lakonan bintang rap, Tip T.I. Harris ialah pemula segala masalah hingga akhirnya mengakibatkan kumpulan itu nyaris lumpuh di mana dua daripada anggotanya mati dan bakinya terpaksa melarikan diri biarpun pada awalnya mereka ragu-ragu dengan ketulusan Ghost.

Walaupun punya jalan cerita yang agak menarik serta paparan wajah popular, pengarahnya tidak menggarap kisah ini dengan kemas kerana masih ada plot longgar yang membuatkan penonton tertanya-tanya di mana kepakaran penjenayah berkenaan yang hanya ditonjolkan pada setengah jam terakhir.

Apa pun, bagi peminat filem aksi yang tidak mementingkan penceritaan sesuatu penceritaan dan lebih mementingkan pertempuran, letupan bom atau kaedah perompak melarikan diri daripada undang-undang, mungkin Takers yang berada di pawagam bermula 28 Oktober ini mampu memenuhi selera mereka.