Dongeng Rantau Asia


Dongeng Rantau Asia
Tarikh Tayangan : 22 November 2010,
Hari Tayangan : isnin hingga rabu,
Masa Tayangan : 2.30 petang
Episode : 13 episod
Pelakon: 200 watak karakter Asia
Negara: Negara Iraq, Korea, Malaysia, Iran, Burma, Arab, China, Thailand, Filipina dan Jepun
Sumber : Budiey.com

Dongeng Rantau Asia (tv2)

Menerusi episod “Kasalamayar” (Iraq), disiarkan kisah berkenaan seorang adik yang ingin merampas takhta daripada abangnya dengan mengupah seorang ahli sihir. Ahli sihir itu menukarkan abang serta pembantunya menjadi seekor burung. Sewaktu menjadi burung itu abangnya bertemu dengan seekor buruk belatuk yang sebenarnya adalah seorang puteri raja yang disumpah. Abangnya berjaya melepaskan diri dari sumpahan itu dan menuntut semula takhta. Mesej yang ingin disampaikan kepada penonton adalah setiap perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan. Begitulah sebaliknya. Kasalamayar adalah contoh yang tepat untuk menyatakan maksud buat dibalas baik ini dan tiada ruginya jika kita sentiasa berbuat baik.

Dua episod dari negara Korea pula adalah “Si Penyu Dan Arnab” dan “Permaisuri Burung Layang-Layang”. Kisah “Si Penyu Dan Arnab” berkaitan seekor penyu ditugaskan oleh permaisuri ikan untuk mencari hati arnab untuk dijadikan ubat bagi penyakitnya. Pengembaraannya hampir berjaya apabila arnab hampir menjadi korban tetapi arnab dapat menyelamatkan diri dengan akalnya yang bijak.

Mesej tersembunyi adalah dalam menjalinkan sesuatu perhubungan persahabatan, kejujuran amatlah penting kerana ia akan mencorakkan bentuk hubungan tersebut samada baik atau buruk sesebuah hubungan itu. Manakala “Permaisuri Burung Layang-Layang” pula mengisahkan Hung Bu seorang yang miskin dan satu hari dia menyelamatkan burung cedera.

Kemudian, burung itu memberinya balasan yang baik. Dia menjadi kaya. Berita itu didengar oleh No bul. Dia mula dengki lalu mencari satu sarang burung. Dia mencederakan burung itu lalu mengubatinya semula dengan harapan dapat menjadi kaya tetapi burung itu membalasnya dengan keburukan. Kisah ini menceritakan bagaimana menolong seseorang dengan ikhlas akhirnya mendapat ganjaran yang tak disangka.

Kemudiannya menyusul dua episod dari Thailand iaitu “Sun Tong Putera Kerang”, kisah Permaisuri Chanthathewi melahirkan sebiji kerang gergasi. Kerana dihasut oleh Cik Puan Suwan dan nasihat dari tabib, Raja Prommathat menghalau Permaisuri dan kerang gergasi dari istana. Permaisuri dan kerang gergasi tinggal bersama perempuan tua yang baik hati. Setelah dewasa Suntong iaitu putera kerang, disuruh oleh permaisuri untuk menuntut ilmu sakti untuk menuntut haknya sebagai putera. Kisah ini memberi pengajaran agar jangan memandang rupa luaran seseorang itu sahaja tetapi kita perlu mengenali dengan lebih mendalam sebelum membuat penilaian.

Manakala episod “Kisah Anak Harimau Dan Anak Lembu” pula memaparkan watak Honvinjai dan Khavi adalah anak harimau dan anak lembu yang ditukarkan menjadi manusia oleh nenek kebayan. Setelah menjadi manusia, Honvinjai dan Khavi mengembara ke serata tempat dan menempuhi berbagai rintangan. Dengan pemberian pedang ajaib dari nenek, mereka dapat melepasi segala halangan dari hidup bahagia bersama pasangan masing-masing.

Kisah-kisah lain yang menarik termasuklah dua dongeng dari negara Cina iaitu Berus Emas Ajaib (kisah ini menceritakan akibat daripada sifat tamak yang akhirnya memakan diri sendiri) dan Permaidani Ajaib (kisah anak yang baik akan membalas jasa ibubapanya). Manakala Si Kerdil Yang Nakal (Filipina) menceritakan akibat dari perbuatan menyusahkan orang lain yang akhirnya memberikan akibat yang buruk pada pelakunya. Sebaliknya jika kebaikan yang dibuat balasannya sudah tentulah kebaikan juga malah mungkin berlipat kali ganda.

Usah ketinggalan juga menyaksikan episod Okuni Dan Si Arnab Putih (Jepun), kisah seekor arnab yang mendapat balasan yang baik setelah dia menolong arnab yang ditimpa kesusahan, Monyet Dan Kura-Kura (Malaysia) kisah Monyet yang mengkhianati kawannya, seekor penyu dan menerima balasan juga Mushkil Gusha (Iran), Seorang lelaki miskin mendapat pertolongan yang tidak disangka-sangka. Setelah menjadi senang dia lupa akan janjinya terhadap orang yang menolongnya. Lalu dia ditimpa kesusahan. Setelah itu dia sedar kesilapannya lalu menunaikan janjinya. Nasibnya kembali baik.

Kemudiannya episod Si Comel Berhati Mulia (Burma) – Seorang ibu telah melahirkan seekor katak. Tetapi katak itu disayang oleh semua orang. Apabila ibu meninggal dunia, ayahnya berkahwin lain. Ibu tiri katak itu sangat jahat. Suatu hari ada satu pertandingan, katak itu menang dan berkahwin dengan putera raja. Diakhiri dengan episod Pengembaraan 3 Beradik (Arab), kisah pengembaraan 3 beradik yang mempunyai kepakaran masing-masing. Mereka mengembara untuk mencari pengalaman hidup.